Lawrence: Penggunaan teknologi digital bantu sektor binaan tingkat hasil

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

DIGITALISASI menawarkan pelbagai peluang bagi industri binaan menjalani perubahan dan maju, terutama sekali dari segi meningkatkan daya penghasilan, keselamatan dan mengurangkan kerja-kerja yang tidak diperlukan.

Justeru, pelbagai program bakal dikendalikan pemerintah demi membina ekosistem syarikat binaan inovatif yang lebih kukuh dengan keupayaan untuk mengendalikan projek-projek bermutu di Singapura dan juga di luar negara.

Demikian dinyatakan Menteri Pembangunan Negara, Encik Lawrence Wong, dalam satu pos di blognya, sambil menambah bahawa program-program tersebut akan membantu membimbing syarikat, memberikan akses kepada rangkaian hubungan yang relevan serta menawarkan sokongan dana.

Antaranya, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bakal melancarkan inisiatif Cool Ideas Enterprise yang mengalu-alukan idea daripada perusahaan.

Melalui inisiatif tersebut, HDB akan bekerjasama dengan perusahaan untuk mewujudkan penyelesaian praktikal bagi estet-estet perumahan, yang bakal memanfaatkan perusahaan dan juga penduduk.

Inisiatif tersebut bakal dilancar semasa acara Festival Inovasi pada 28 November ini.

Selain itu, Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) juga bakal melancarkan program pemecut untuk menyokong syarikat BuildTech (Building Technology) dan mendorong penyelesaian yang dikemukakan mereka untuk memasuki pasaran dengan lebih cepat, jelas Encik Wong.

Program itu akan menyokong pelbagai kegiatan termasuk memadankan minat kepada hos industri, memberikan akses kepada rangkaian hubungan pelabur dan perniagaan, serta menyediakan program bimbingan kepada syarikat.

Menurut Encik Wong, butiran lanjut mengenai program tersebut akan didedahkan tahun depan.

Tulisnya lagi, pemerintah juga bekerjasama dengan persatuan perdagangan seperti Persatuan Kontraktor Singapura (SCAL) untuk membantu syarikat membina keupayaan dalam teknologi produktif.

Sebagai contoh, SCAL sudah menyediakan wadah dan forum untuk memberikan kemas kini berkaitan teknologi pembinaan dan berkongsi amalan terbaik antara pihak-pihak berkepentingan industri.

“Dari segi kemajuan teknologi, industri pembinaan bermula dari peringkat yang rendah jika dibandingkan dengan bidang yang lebih matang seperti kewangan dan penjagaan kesihatan.

“Namun ini bermakna bahawa terdapat lebih banyak kelebihannya.

“Dengan saiz sektor (yang kecil), langkah-langkah memperbaiki (sektor) boleh diterjemahkan kepada manfaat yang besar kepada syarikat dan juga pekerja,” ujar beliau.

Namun, untuk memaksimumkan manfaat teknologi baru ini, ia memerlukan sokongan padu daripada semua pihak berkepentingan.

Tambah Encik Wong, beberapa syarikat baru (start-up) sudah pun mengambil peluang untuk mengemukakan penyelesaian teknologi canggih bagi sektor binaan.

Antaranya, Transforma Robotics telah membangunkan wadah robotik yang dilengkapi alat mengesan canggih, analisis data dan kecerdasan buatan untuk menilai mutu kerja secara objektif berdasarkan spesifikasi atau butiran yang ditetapkan.

Ini membolehkan kontraktor dan pasukan pemeriksaan mutu meningkatkan daya penghasilan mereka sehingga 50 peratus, sekali gus membebaskan pasukan mereka bagi melakukan tugas lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.