Dr Siti Hasmah bakal gesek biola iringi persembahan Jamal, M. Nasir

Berita Harian - - GAH! -

ISTERI Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, bakal mengiringi persembahan Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir dengan gesekan biola pada Konsert Duo Legenda yang berlangsung di Istana Budaya di Kuala Lumpur pada 20 hingga 23 Disember depan.

Menurut Jamal, 59 tahun, segmen itu bakal diadakan pada 22 Disember yang juga Malam VVIP.

Ia bertujuan mengumpul dana bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

“Segmen khas hanya untuk satu malam itu bakal menyaksikan Siti Hasmah mengiringi persembahan kami menerusi gesekan biola bagi lagu Gubahanku.

“Ketika kami menyampaikan hasrat berkenaan kepadanya, beliau kelihatan sangat teruja.

“Kami juga sangat senang berurusan dengannya. Beliau kini giat menjalani latihan dengan mengikuti kelas muzik," katanya pada sidang media konsert itu baru-baru ini, lapor Berita Harian Malaysia.

Turut hadir, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani; M Nasir; dan penyanyi undangan, Cassidy Anderson.

Mengulas gandingannya bersama penyanyi dan komposer terkemuka berkenaan, bintang yang popular dengan lagu Kau Lupa Janji itu berkata, penghibur terbabit dipilih kerana kredibiliti serta karisma dimilikinya.

“Nasir bukan sekadar seorang legenda, bahkan beliau juga mempunyai ramai pengikut.

“Saya pula memang sudah lama menyimpan impian untuk mengadakan konsert bersamanya. Baru kini hasrat itu tercapai,” katanya.

IRINGI LEGENDA: Golongan VVIP yang menyaksikan persembahan Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir dalam Konsert Duo Legenda bakal turut berpeluang melihat bakat isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, mengesek biola untuk mengumpul dana bagi membantu golongan memerlukan. – Foto KOSMO

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.