PM: China, AS perlu pastikan ketegangan dagangan tidak jejas hubungan lebih luas

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

“Pemimpin dua negara harus memutuskan apa yang ingin dilakukan dan jika ia tidak berhasil, mereka harus pastikan (ketegangan itu) tidak berlebihan, memberi respons dengan cara yang terkawal dan cuba... mengelakkan daripada perkara ini menjejas hubungan antara mereka dengan negatif secara keseluruhan... Antara Amerika dengan China, terdapat banyak perkara yang memerlukan kedua-duanya bekerjasama kerana jika tidak, tiada apa yang boleh dicapai... bermula dengan (isu) Korea Utara.” – Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

PEMIMPIN Amerika Syarikat dan China harus memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan mereka serta memastikan ketegangan sekarang tidak menjejas hubungan yang lebih luas antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

“Pemimpin dua negara harus memutuskan apa yang ingin dilakukan dan jika ia tidak berhasil, mereka harus pastikan (ketegangan itu) tidak berlebihan, memberi respons dengan cara yang terkawal dan cuba... mengelakkan daripada perkara ini menjejas hubungan antara mereka dengan negatif secara keseluruhan.

“Antara Amerika dengan China, terdapat banyak perkara yang memerlukan kedua-duanya bekerjasama kerana jika tidak, tiada apa yang boleh dicapai... bermula dengan (isu) Korea Utara,” kata Encik Lee.

Beliau berkata demikian kelmarin semasa menjawab satu soalan yang dikemukakan di satu majlis jamuan malam yang dihadiri 400 pemimpin pemikir dan perniagaan.

Mereka berada di Singapura bagi menghadiri Forum Ekonomi Baru Bloomberg.

Perang dagang dan kesannya terhadap hubungan Sino-Amerika menarik perhatian hadirin semasa hari pertama forum itu, lapor akhbar The Straits Times.

Tarif yang dikenakan sebagai tindakan saling membalas terhadap produk hasil dua ekonomi terbesar dunia itu juga telah menjejas sentimen perniagaan.

Naib Presiden China, Encik Wang Qishan menyarankan bahawa perang dagang Amerika-China itu harus berhenti dan mengecam prinsip membolehkan satu pihak sahaja mengambil tindakan tanpa persetujuan pihak berhubung isu perdagangan, semasa menyampaikan ucapannya.

Sementara itu, pakar strategi Amerika, Encik Henry Kissinger pula agak optimistik bahawa Amerika dan China mampu mengelak daripada pertikaian lebih besar.

Semasa sesi dialog semasa jamuan malam yang dianjurkan ketua editor Bloomberg News ,Encik John Micklethwait, seorang hadirin menanyakan Encik Lee apakah nasihat yang akan diberinya kepada Presiden China Encik Xi Jinping dan Presiden Amerika Encik Donald Trump berhubung isu perang dagang itu sekiranya beliau bersama kedua-dua mereka di satu meja.

“Saya akan teragak-agak untuk berada di meja yang sama dengan mereka,” ujar Encik Lee sambil mengundang tawa hadirin dengan jawapannya itu.

Namun tambahnya, isu defisit perdagangan kini bermain di fikiran Encik Trump tetapi menurut pakar ekonomi, ia menunjukkan masalah makroekonomi dan bukan isu sekatan perdagangan atau kekurangan keterbukaan perdagangan.

Itu harus ditangani secara berasingan, kata Encik Lee.

Beliau turut menarik perhatian bahawa kededua Amerika dan China hampir mencapai persetujuan beberapa kali namun ia tidak berhasil akhirnya.

Apabila ditanya bagaimana bayangan tata dunia baru, dengan Amerika mengambil tempat duduk belakang, Encik Lee berkata beliau tidak menganggapnya sebagai satu pengunduran tetapi langkah Amerika memikirkan semula peranan mereka.

“Sehingga sekarang, Amerika memainkan peranan paling berpengaruh dalam ekonomi dunia sehingga mereka merasakan adalah kepentingan mereka untuk menyediakan barangan bagi penggunaan dunia.

“Dunia ini kian makmur, dan Amerika juga,” ujarnya.

Namun dengan kekayaan ekonomi yang berubah, Amerika juga bertanya sama ada mereka harus berada di kedudukan terdahulu.

“Amerika boleh mengambil pendekatan sedemikian namun... ini adalah kedudukan sejagat yang amat berbeza.

“Tiada siapa yang akan memainkan peranan yang Amerika mainkan sehingga kini,” kata Encik Lee.

Tambahnya, sekiranya perkara ini berterusan, keadaan dalam dunia ini akan menjadi berbeza, dan bukan hanya negara kecil yang akan rasa tidak selesa.

Dalam pada itu, Encik Lee turut ditanya tentang persaingan sejagat yang turut menjejas ikatan antara negara dekat Singapura.

“(Hubungan) jiran tetangga bukan tanpa sebarang kerumitan.

“Kita tidak memilih jiran kita. (Singapura) mempunyai dua jiran yang lebih besar daripada kita dan secara umumnya, hubungan kita baik.

“Namun, terdapat isu yang akan timbul dan kita harus menanganinya dengan cara yang membina, saling bermanfaat dan menghormati kepentingan kedua-dua negara,” katanya sambil berkata Amerika dan jirannya, Canada, juga mempunyai isu antara mereka.

BINCANG ISU SERANTAU: Encik Lee menjawab beberapa soalan yang dikemukakan hadirin di dialog semasa jamuan malam sempena Forum Ekonomi Baru Bloomberg. Moderator dialog itu adalah ketua editor Bloomberg News John Micklethwait (kanan). – Foto BH oleh ARIFFIN JAMAR

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.