Pengurus SMRT bantu tangkap suspek jenayah, jaga pesakit demensia

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

MENCERITAKAN pengalaman kerjanya, Encik Muhammad Noh Abdul Sukor berkata beliau pada suatu hari sedang melakukan tugasnya seperti biasa di stesen MRT Tanah Merah apabila beliau dihampiri seorang lelaki dan wanita.

Lelaki dan wanita itu telah membawa seorang suspek yang disyaki mencabuli kehormatan wanita tersebut kepadanya untuk membuat aduan.

Namun, suspek itu berjaya melarikan diri dan dikejar lelaki dan wanita itu.

Encik Noh, 35 tahun, kemudian turun ke bawah untuk meninjau apa yang sedang berlaku dan ternampak suspek ditahan dua lelaki.

“Saya lihat kepala suspek itu berdarah...Apabila saya lihat kejadian itu, saya melaporkannya kepada ketua saya dan meminta bantuan TransCom (Komand Keselamatan Pengangkutan Awam),” kata pengurus stesen SMRT Trains itu.

Walaupun lelaki yang ditangkap itu seorang suspek, Encik Noh tetap menghulurkan bantuan dan telah mendapatkan alat pertolongan cemas untuk merawat lukanya.

“Sama ada anda seorang suspek atau tidak, kita semua manusia,” kata beliau.

Sedang beliau cuba membantu suspek itu, lelaki itu cuba melarikan diri sekali lagi.

Encik Noh bagaimanapun dapat menghalang suspek itu dengan bantuan orang lain dan mereka terus menahan lelaki itu sehingga pegawai TransCom dan polis tiba.

Atas tindakan beraninya itu, Encik Noh diberi Surat Penghargaan dari Pusat Polis Kejiranan (NPC) Bedok South pada awal tahun ini.

Baru-baru ini juga, beliau menerima Anugerah Cemerlang di majlis Anugerah Berbudi Bahasa Nasional – Pengangkutan Emas Ke-19 yang diadakan di Istana.

Hadir di majlis itu untuk menyampaikan anugerah ialah Presiden Halimah Yacob; Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan; Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan), Dr Lam Pin Min; Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Baey Yam Keng.

Anugerah anjuran bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Gerakan Berbudi Singapura (SKM) itu mengiktiraf pekerja pengangkutan yang melakukan kebaikan dan memberikan khidmat penuh berbudi bahasa.

Encik Noh turut mengongsi satu lagi kisah di mana beliau membantu seorang wanita yang sesat dan lupa arah pulang ke rumah pada Mei tahun ini.

Wanita itu, yang mempunyai demensia sederhana, difahamkan telah keluar rumahnya untuk menikmati udara segar tetapi sesat jalan dan tiba di stesen MRT Tanah Merah.

Beberapa penumpang membawa wanita itu ke pusat khidmat penumpang di stesen MRT untuk mendapatkan pertolongan, kata Encik Noh.

Beliau meminta rakan sekerjanya mengajak wanita itu masuk ke kawasan rehat sementara menantikan bantuan TransCom.

Bagaimanapun, wanita itu mula rasa gelisah dan Encik Noh menyuruh rakan sekerjanya mengajak wanita itu berjalan di luar untuk melihat sama ada beliau dapat mengenal pasti sebarang mercu tanda untuk pulang ke rumah.

Sementara itu, Encik Noh berusaha mencari profil Facebook wanita itu untuk menghubungi beberapa ahli keluarganya.

“Mujur, beliau mengingati nama penuhnya. Nombor pengenalannya pun beliau tidak ingat,” kata beliau.

Setelah menghantar mesej kepada beberapa ahli keluarga wanita itu di Facebook, seorang anak saudara lelaki wanita itu memberikan respons dan memberitahu Encik Noh bahawa suami wanita itu telah cuba mencari isterinya itu sejak petang.

“Saya memberitahu anak saudaranya bahawa beliau dalam keadaan selamat dan beliau berada di stesen Tanah Merah bersama kami.

“Saya juga menyuruh anak saudaranya menghubungi pakciknya supaya datang ke pusat khidmat penumpang di stesen MRT untuk berjumpa dengan isterinya,” kata beliau.

Dengan anugerah yang diterima itu baru-baru ini, Encik Noh berharap dapat memberi inspirasi kepada rakan sekerja yang lain untuk menyediakan khidmat yang terbaik dalam tugasan harian mereka.

“Saya rasa bersyukur menerima anugerah ini dan ia memberi saya dorongan untuk melakukan yang terbaik dalam pekerjaan serta memberi inspirasi kepada rakan-rakan sekerja di stesen saya untuk bekerjasama bagi menjadikan pengalaman perjalanan lebih baik buat penumpang,” kata beliau.

KHIDMAT CEMERLANG: Tindakan pengurus stesen MRT Tanah Merah, Encik Muhammad Noh Abdul Sukor, membantu menangkap seorang suspek kes cabul kehormatan dan seorang wanita yang lupa dan hilang arah pulang ke rumahnya mendapat pengiktirafan dengan beliau menerima Anugerah Cemerlang di majlis Anugerah Berbudi Bahasa Nasional – Pengangkutan Emas Ke-19 baru-baru ini. – Foto-foto BH oleh KELVIN CHNG

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.