Pengalaman setahun jagung tidak hambat Mahler tunjuk prestasi baik

Dalam masa lapan bulan, pemain muda dipilih wakili negara

Berita Harian - - SUKAN -

SEPERTI menunggang roller coaster. Itulah gambaran Jacob William Mahler, 18 tahun, tentang ‘tahun peluang keemasannya’ ini.

Tidak ramai pemain bola sepak Singapura yang mampu menyatakan dengan yakin bahawa mereka berjaya maju daripada bermain dalam pasukan bawah 18 tahun kepada Liga Perdana Singapura (SPL), dan akhirnya ke pasukan kebangsaan dalam masa lapan bulan sahaja.

Mahler telah memulakan perjalanan hebatnya pada Januari lalu sebagai pemain midfield bagi akademi bola sepak kebangsaan (NFA) bawah 18 tahun (U-18).

Tidak lama kemudian, pemain berbangsa Serani itu dipanggil, pada masa agak lewat, untuk menyertai Piala Hassanal Bolkiah di Brunei – kejohanan bola sepak terbuka kepada pemain daripada negara Asean di bawah umur 21 tahun, pada April lalu.

Prestasi baiknya bermain bersilih ganti di kedudukan midfield dan bek tengah sepanjang kejohanan itu telah menarik perhatian jurulatih Fandi Ahmad, sehingga beliau memutus untuk mengambil Mahler sebagai anak didik di Garena Young Lions.

Walaupun mengalami kecederaan pada ligamen di buku lali sejurus sahaja mula bermain dengan Young Lions dalam satu perlawanan persahabatan, Mahler tidak mengizinkan cabaran pertama itu melemahkan semangatnya.

Setelah pulih selama dua bulan, pelajar tahun kedua dalam kursus Elektronik Aeroangkasa di Politeknik Temasek (TP) itu akhirnya berjaya muncul secara rasmi buat Young Lions pada Julai lalu, menentang Geylang International.

Mahler mengakui beliau tidak pernah menyangka akan berpeluang bermain di tahap kebangsaan seawal ini dalam kerjaya bola sepaknya, apatah lagi apabila membuat penampilan sulungnya di SPL.

“Saya mendapat berita manis itu selepas satu sesi latihan, tanpa amaran.

“Apabila jurulatih Fandi memanggil nama saya sebagai salah satu daripada lima pemain daripada pasukan Young Lions yang dipilih untuk menyertai pasukan nasional, saya terkejut dan terharu tidak terkata dan tidak sabar ingin memberitahu ibu bapa saya,” Mahler mengimbas kembali semasa ditemui Berita Harian.

Anak kepada dua orang jurutera itu menegaskan sokongan tidak berkesudahan daripada ibu bapanya sebagai sumber motivasi utama sejak beliau tertarik kepada sukan bola sepak pada umur tujuh tahun.

“Saya mula jatuh cinta dengan bola sepak semasa menonton perlawanan Liga Perdana England (EPL) bersama bapa saya.

“Namun, saya tiada peluang bermain dengan kerap kerana sekolah saya ketika itu, Sekolah Rendah Teck Ghee, tidak mempunyai bola sepak sebagai aktiviti kokurikulum,” kata Mahler yang mendapat sokongan daripada kedua ibu bapanya yang tidak melepaskan peluang melihat anak kesayangan mereka bermain dalam setiap perlawanan, biar di tanah air mahupun di luar negara.

Sebagai salah seorang pemain yang termuda yang dipilih untuk menyarung jersi Singapura dalam kejohanan Piala AFF Suzuki tahun ini, Mahler ternyata berasa berbesar hati dengan peluang yang diberikannya ini.

“Walaupun saya sungguh gementar pada mulanya, saya tidak terhenti berasa terharu setiap saat saya berada di padang bersama pemain ikonik Singapura seperti Hariss (Harun), (Khairul) Amri, Baihakki (Khaizan) dan Safuwan (Baharuddin).

“Kadangkala, saya kagum apabila menyedari bahawa saya sedang berlatih dan bermain di padang yang sama dengan mereka.

“Mereka tidak teragak-agak menolong saya dengan menasihati cara-cara untuk memperbaiki permainanan saya selepas perlawanan dan menunjuk saya teknik yang lebih baik semasa latihan.

“Mereka juga mempunyai pengalaman luas bermain di luar negara, suatu perkara yang saya berazam untuk ceburi pada masa depan,” kongsi Mahler mengenai cita-citanya.

Skuad Singa sudahpun memulakan persediaan menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki ini beberapa bulan lalu dan baru-baru ini telah ke Jepun untuk menjalani kem latihan selama dua minggu.

Mahler berharap setiap usaha dan kerja keras yang telah dilakukan pasukan negara turut mendapat sokongan padu penyokong Singapura.

“Setiap seorang daripada kami sedang bekerja keras untuk menampilkan prestasi yang sebaik mungkin demi kebanggaan bola sepak negara, dan saya betul-betul berharap para peminat akan memenuhi Stadium Nasional sekali lagi apabila kami menentang Indonesia pada 9 November ini (esok).

“Lagipun, mereka adalah ’pemain ke-12’ dalam pasukan kami,” ujar Mahler dengan penuh harapan.

“Saya mendapat berita manis itu selepas satu sesi latihan, tanpa amaran. Apabila jurulatih Fandi memanggil nama saya sebagai salah satu daripada lima pemain daripada pasukan Young Lions yang dipilih untuk menyertai pasukan nasional, saya terkejut dan terharu tidak terkata dan tidak sabar ingin memberitahu ibu bapa saya.” – Jacob William Mahler.

USIA BUKAN PENGHALANG: Mahler mengalu-alukan peluang membantu pasukan negara dalam perjuangan mereka di kejohanan Piala AFF Suzuki ini dan berharap penyokong juga dapat memberikan sokongan padu mereka. – Foto-foto BH oleh IQBAL FAIZAL

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.