Peluang murid berbakat manfaatkan laluan langsung ke sekolah menengah

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

CIK Siti Masrura Mohamed Senin terpinga-pinga pada awalnya apabila guru sekolah anaknya di Sekolah Rendah Qihua menyarankan agar anak sulungnya, Nur Hidayah Mohamad Aidil, dimasukkan ke Sekolah Menengah Riverside melalui laluan Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA).

“Saya tidak tahu-menahu tentang skim ini. Saya juga tidak tahu apakah kriteria yang diperlukan ataupun cara permohonannya.

“Mujur guru anak saya yang menguruskan segalanya,” ujar ibu empat anak berusia 39 tahun ini.

Tetapi beliau bersyukur anaknya yang merupakan ketua kumpulan tarian Melayu di sekolah rendahnya dipilih ke sekolah menengah tersebut melalui DSA.

Kedua-dua sekolah berkenaan terletak di Woodlands Street 81.

Selepas melalui sesi temuduga, Nur Hidayah dipilih kerana potensi dan bakat besar yang ditonjolkannya dalam bidang seni tari semasa di sekolah rendah itu.

Menurut Cik Siti Masrura, program sedemikian memang baik kerana ia menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) mengutamakan bakat dan potensi pelajar melebihi sekadar bidang akademik sahaja.

“Bakat seseorang pelajar itu akan hanya menyerlah apabila mereka minat dalam sesuatu bidang yang mereka sukai.

“Bagi anak saya, tarian bukan sahaja membolehkannya menunjukkan bakatnya tetapi juga membangunkan kepribadiannya agar lebih yakin dengan kebolehannya sendiri,” ujar ejen hartanah ini.

Nur Hidayah yang kini di menengah tiga berkata semasa sesi wawancara beliau telah ditanya tentang minatnya dalam bidang seni tari itu selain menunjukkan beberapa gerak seni tari kepada guru yang mewawancaranya.

Menurutnya yang kini memegang jawatan setiausaha dalam kumpulan tari sekolahnya, beliau kini lebih terdedah kepada pelbagai genre menari termasuk tarian kontemporari dan silat.

“Saya sebenarnya agak pemalu dan sukar untuk meluahkan isi hati dengan kata-kata.

“Tetapi dengan tarian, saya lebih mudah meluahkannya,” katanya lagi.

Nur Hidayah juga berharap beliau akan dapat terus memperluas dan mengembangkan bakatnya dalam bidang ini di peringkat tinggi.

“Saya berharap dapat menganggotai sebuah kumpulan seni tari di sini dan mungkin memberi inspirasi kepada orang lain menerusi tarian saya,” ujarnya lagi.

Meskipun menyambut baik program DSA, Cik Siti Masrura turut berharap perlunya masyarakat sekeliling merubah minda terhadap skim ini.

“Saya diberitahu pelajar yang memasuki sesebuah sekolah melalui DSA dipandang rendah kerana mereka bukan diterima masuk kerana pencapaian akademik tetapi luar akademik.

“Persepsi perlu diubah kerana kini laluan kejayaan itu pelbagai cabangnya dan ia tidak hanya akademik sahaja semata-mata,” katanya lagi.

MANFAAT PELUANG: Nur Hidayah Mohamad Aidil (duduk di barisan depan, dua dari kanan), merupakan ketua kumpulan tarian Melayu di Sekolah Rendah Qihua dan terpilih memasuki Sekolah Menengah Riverside melalui laluan Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA). – Foto ihsan NUR HIDAYAH MOHAMAD AIDIL

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.