Pelajar manfaatkan DSA dengan bakat dalam bola sepak

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT -

SETIAP kali ada perlawanan bola sepak antara sekolah, pengetua dan para guru Sekolah Menengah Meridian akan “turun padang” untuk memberikan sokongan moral kepada para pelajar yang bertanding.

Sebagai seorang bapa, selebriti Encik Shahrin Azhar rasa terharu melihat semangat yang ditonjolkan pihak sekolah kepada pasukan bola sepak sekolah.

Ini lebih-lebih lagi, anaknya, Danish Qayyum, merupakan kapten pasukan bola sepak sekolah tersebut.

“Keghairahan pihak sekolah itu menunjukkan bahawa sekolah menitikberatkan bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi juga luar akademik,” katanya.

Anak ketiganya, Danish yang kini di menengah empat, berjaya memasuki Sekolah Menengah Meridian di Pasir Ris Street 51, yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Coral, melalui laluan Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA).

Pada mulanya Encik Shahrin, 46 tahun, tidak mengetahui tentang adanya skim itu sehingga diberitahu guru anaknya di Sekolah Rendah Meridian, di Pasir Ris Street 71.

Untuk memohon tempat di sekolah tersebut, Encik Shahrin perlu menghantar beberapa dokumen ke sekolah itu dan bertemu dengan pengetuanya.

“Memang ada beberapa prosedur yang perlu dilaksanakan semasa proses permohonan.

“Kalau ibu bapa yang tidak fasih tentang proses ini, mereka mungkin menganggapnya satu proses yang agak melecehkan,” kongsinya.

Justeru, beliau mengalu-alu perubahan permohonan kepada DSA di mana kini pelajar boleh memohon melalui portal dalam talian.

“Ia memudahkan proses permohonan dan bagi ibu bapa kita juga tahu sekolah mana yang menawarkan DSA khusus untuk bakat yang sesuai untuk anak kita,” katanya.

Tambahnya, pendekatan pihak Kementerian Pendidikan (MOE) untuk menambah tempat pelajar DSA menunjukkan komitmen pihak kementerian untuk menawarkan peluang kepada pelajar memasuki sesebuah sekolah berdasarkan bakat, potensi dan pencapaian mereka.

Ternyata dengan tumpuan khusus yang ditunjukkan pihak sekolah bagi membangunkan bakat anaknya dalam bola sepak, Encik Shahrin dapat melihat perubahan memberangsangkan terutama dari segi nilai-nilai positif dan ciri-ciri kepimpinan dalam diri anaknya.

Bakat anaknya yang telah diasah itu telahpun membuahkan hasil.

Kecemerlangan Danish dalam bola sepak kini bukan sahaja di peringkat sekolah.

Danish, 16 tahun, kini bermain untuk kelab bola sepak Home United FC.

Beliau juga telah mewakili pasukan bola sepak negara di bawah usia 16 tahun, dan telahpun mewakili negara sejak di bawah usia 14 tahun.

Tahun lalu juga, Danish meraih Anugerah Sukan Budak Lelaki Terbaik Sukan Sekolah Nasional (NSG).

“Saya amat mengalu-alukan ibu bapa untuk memanfaatkan laluan DSA buat anak mereka kerana minat anak dalam sesuatu bidang itu boleh dibangunkan untuk menjadi kekuatan mereka,” katanya.

Beliau menambah:

“DSA banyak membantu memperkukuh bakat saya dalam bola sepak. Kelengkapan yang disediakan pihak sekolah juga mencukupi dan jurulatih saya, Encik Yahya Madon banyak memimpin saya untuk menjadi seorang pemain yang berdisiplin dan lebih baik.”

KEMASUKAN LANGSUNG: Danish yang kini di menengah 4, berjaya memasuki Sekolah Menengah Meridian, yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Coral, melalui laluan Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA). – Foto ihsan DANISH QAYYUM

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.