Keputusan GCE ‘O’ tidak lagi dikira untuk pelajar poly masuk uni

Berita Harian - - BERITA SETEMPAT - SHAHIDA SARHID sshahida@sph.com.sg

BERMULA dari tahun akademik 2020, keputusan GCE peringkat ‘O’ bagi para pelajar politeknik yang ingin memohon bagi kesemua universiti berautonomi (AU) di sini, termasuk Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), tidak lagi akan di ambil kira.

Hanya Gred Purata Mata (GPA) yang diraih pelajar semasa di politeknik akan dinilai bagi permohonan ke AU.

Sebelum ini, Markah Masuk Universiti (UAS) untuk NUS dan NTU menimbangkan kededua GPA (80 peratus) dan keputusan GCE O (20 peratus).

Pengumuman itu dibuat Menteri Kedua Pendidikan, Cik Indranee Rajah, semasa Persidangan Pendidikan Seni, di Pusat Konvensyen Raffles City, semalam.

Menurut Cik Indranee, perubahan tersebut memberikan paparan lebih baik dan terkini mengenai pengetahuan dan kemahiran yang diraih pelajar semasa di politeknik.

Bagaimanapun, pelajar masih boleh terus menyerahkan keputusan GCE ‘O’ relevan kepada kursus yang ingin mereka ikuti sebagai maklumat tambahan untuk menyokong permohonan mereka.

Cik Indranee berkata, perubahan ini serta inisiatif lain seperti Kemasukan Berdasarkan Budi Bicara, sejajar dengan perubahan lain yang telah dibuat kepada sistem pendidikan untuk membolehkan pelajar dengan cara pembelajaran yang berbeza-beza, dinilai dengan cara lebih menyeluruh.

“Ia juga dapat mengenal pasti pelajar yang lewat berkembang dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi mereka yang berjaya selepas mengetahui minat apabila dewasa,” ujar Cik Indranee.

Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), perubahan ini juga sealiran dengan pendekatan kemasukan ke AU oleh pelajar yang mempunyai kelayakan GCE peringkat A dan International Baccalaureate (IB).

Selain itu, perubahan ini akan dapat menyokong lebih ramai profil pelajar yang kian pelbagai.

Hampir seperempat kesemua pelajar yang memasuki politeknik tidak mempunyai kelayakan GCE ‘O’ kerana mereka mungkin memasuki politeknik menerusi Program Asas Politeknik ataupun lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang memasuki politeknik menerusi skim Kemasukan Langsung ke Politeknik.

PERUBAHAN KRITERIA: Para pelajar politeknik yang ingin memohon bagi kesemua universiti berautonomi (AU) di sini, termasuk Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), tidak lagi akan di ambil kira keputusan GCE ‘O’. – Foto BH oleh SEAH KWANG PENG

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.