Kadi, naib kadi boleh bantu bangun keluarga utuh dalam masyarakat

Berita Harian - - BERITA - IRMA KAMARUDIN irmak@sph.com.sg

KADI dan naib kadi boleh memainkan peranan lebih besar dalam membimbing pasangan dan mewujudkan rumah tangga serta keluarga utuh dalam masyarakat.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata kadi dan naib kadi adalah institusi yang terus kekal penting dalam masyarakat dan pasangan boleh meraih banyak manfaat menerusi nasihat dan pandangan yang mereka kongsi.

Encik Masagos berkata demikian ketika berucap di majlis penghargaan bagi naib kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) semalam.

Terdapat lima kadi dan 27 naib kadi di Singapura.

Dalam ucapannya, Encik Masagos memberi contoh beberapa naib kadi yang memainkan peranan proaktif dalam membantu membimbing pasangan sebelum mereka bernikah.

Misalnya, Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim yang menawarkan kursus rumah tangga percuma di rumahnya bagi pasangan yang akan beliau nikahkan.

Ustaz Muhd Farhan Nordin pula menghubungi pengantin menerusi ruang sembang WhatsApp seminggu sebelum mereka berkahwin untuk berinteraksi dan memberikan panduan dan nasihat bagi majlis pernikahan.

Encik Masagos juga mengongsi pengalamannya mendirikan rumah tangga hampir tiga dekad lalu.

Menurutnya, beliau pada mulanya berasa tidak perlu menyertai kursus rumah tangga sebelum berkahwin kerana sudah banyak menimba ilmu daripada pelbagai asatizah.

Namun, selepas dinasihati kadinya, Ustaz Pasuni Maulan, beliau mengikuti kursus rumah tangga juga akhirnya.

“Saya bersyukur kerana saya ikut nasihat Ustaz Pasuni.

“Banyak sekali yang saya lalui semasa kursus tersebut yang (sebelum ini) betul saya tidak tahu.

“Alhamdulillah, kerana kami berdua (beliau dan isteri) mengikuti kursus tersebut, (kami) faham tentang perjalanan sebagai sepasang mempelai setelah bernikah,” kata beliau, yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-30 tahun depan.

Justeru, Encik Masagos menggalak pasangan yang bakal mendirikan mahligai bersama agar menyertai kursus rumah tangga.

Dalam usaha membantu membina keluarga kukuh, Ustaz Pasuni mengongsi bahawa satu kumpulan telah dibentuk bagi melihat bagaimana pasangan yang bakal memasuki alam rumah tangga dapat diberi sokongan.

Ini termasuk bagaimana mereka dapat “diberikan bekalan yang membantu mereka melalui alam rumah tangga, bagaimana (menjalankan) peranan sebagai ayah dan ibu, serta tanggungjawab dalam kehidupan berkeluarga dan sebagainya”, kata beliau.

Kumpulan itu, yang dimulakan bersama Ustaz Dr Firdaus Yahya, Ustaz Harunarrashid Zainudin dan Ustaz Maaroof Haji Mohamed, kini dalam perbincangan merancang dan memikirkan bersama program untuk pasangan.

“Kita akan mengadakan lebih banyak perbincangan sehingga ia dapat disokong bukan saja naib kadi, malah kita juga ingin dapatkan sokongan daripada pasangan dan ibu bapa pasangan yang akan bernikah,” ujarnya.

Encik Masagos pula berkata ROMM, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan M Kuasa Tiga (M3) – merangkumi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) – akan menyokong kerja baik naib kadi untuk mempersiapkan pasangan Islam dalam alam rumah tangga dan membina keluarga yang utuh.

“Keluarga yang kukuh datang dari rumah tangga yang teguh dan inilah tunggak bagi generasi kita di masa hadapan,” kata beliau.

SUMBANGAN KADI DIHARGAI: Encik Masagos merupakan tetamu terhormat di majlis penghargaan bagi naib kadi yang diadakan di ROMM semalam. Majlis itu memberi penghargaan kepada naib kadi atas sumbangan mereka membantu membimbing pasangan dan membina keluarga yang kukuh dalam masyarakat. – Foto BH oleh IQBAL FAIZAL

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.