IMDA arah laman States Times Review tarik balik laporan palsu

Berita Harian - - BERITA - NORHAIZA HASHIM norhaiza@sph.com.sg

PENGUASA Pembangunan Infokom Media (IMDA) mengarahkan laman States Times Review menarik balik laporan ‘Lee Hsien Loong becomes IMDB’s key investigation target’ (Lee Hsien Loong jadi sasaran siasatan utama 1MDB) sehingga 5 petang semalam.

Namun, pemeriksaan akhbar ini mendapati laman itu masih mengekalkan laporan tersebut, walaupun waktu yang ditetapkan itu tamat.

Media alternatif dalam talian itu juga menyatakan ia enggan menarik balik laporan itu dan ‘menyambut baik Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk menyamannya di mahkamah Australia.’

Laporan itu, yang dikeluarkan dalam laman www.statestimesreview.com pada 5 November lalu, mendakwa Malaysia menandatangani beberapa perjanjian tidak adil dengan Singapura sebagai ganti kepada bantuan bank-bank Singapura dalam pengubahan wang haram dana pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Semalam, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan ia telah membuat laporan polis berhubung laporan itu yang dianggap tidak berasas dan satu fitnah.

“IMDA telah membuat penilaian bahawa laporan itu menjejas keyakinan awam terhadap integriti pemerintah Singapura dan dipertikaikan berdasarkan kepentingan awam, lantas ia diletakkan di bawah kandungan terlarang di bawah Kod Amalan Internet IMDA.

“IMDA telah mengeluarkan notis kepada States Times Review untuk menarik balik laporan itu sehingga jam 5 petang semalam. Jika ia gagal, IMDA akan mengarahkan Penyedia Khidmat Internet agar menyekat akses terhadap laman itu,” kata kenyataan IMDA semalam.

Oleh kerana laporan itu juga telah dikongsi di Facebook, IMDA juga meminta Facebook agar menyekat akses terhadap pos tersebut.

Semalam, editor States Times Review Alex Tan menyatakan ia ‘menyambut sepenuhnya saman’ daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong di mahkamah Australia dan proksinya seperti IMDA dan MAS untuk ‘memfail kes dengan pihak berkuasa Australia’.

Tan merupakan editor dan salah seorang penyumbang dan pengasas laman, The Real Singapore (TRS).

Beliau berpindah ke Australia selepas TRS ditutup pada 3 Mei 2015 atas arahan IMDA.

Dalam laporan di States Times Review, ia juga mendakwa editor media Sarawak Report, Cik Clare Rewcastle, mendedahkan dalam satu temu ramah dengan media Malaysia bahawa ‘Singapura merupakan salah satu sasaran siasatan utama, bersama Switzerland dan Amerika Syarikat’ dalam skandal 1MDB.

Memberikan respons, Sarawak Report menyangkal kenyataan itu.

Ia juga meminta States Times Review agar membuat pembetulan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore

© PressReader. All rights reserved.