Berita Harian

Rujuk NADMA, JKM selaras agihan bantuan bah

- Disasters · Kuala Lumpur · Nancy · Kita-ku · Rantau Panjang · Kelantan · Shah Alam · Terengganu · Nancy Shukri

Kuala Lumpur: Individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta yang ingin membantu mangsa banjir dinasihat merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi menyelaras­kan agihan bantuan.

Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya menghargai inisiatif dan usaha murni dilakukan untuk membantu mangsa banjir, namun pelarasan perlu dibuat bagi memastikan agihan bantuan lebih tersusun dan menyeluruh.

Katanya, langkah itu bagi memudahkan agensi terbabit serta NGO atau swasta untuk mengatur pergerakan agihan bantuan terutama di kawasan terputus hubungan atau berdepan risiko keselamata­n.

“Pihak NGO atau swasta juga dinasihatk­an supaya bergerak melalui kerajaan dan tidak bekerja secara sendiri.

“Kita faham yang menjadi mangsa itu keluarga, rakan kita, tetapi kita perlu selaraskan.

“Hubungi NADMA, JKM atau pejabat daerah. Kita akan bantu selaraskan, kalau tanpa pemakluman kita juga tak dapat nak bantu kerana ada kawasan yang sukar diakses dan kita juga mahu tiada mangsa yang keciciran bantuan,” katanya selepas menghadiri majlis Jalinan Kasih Lembaga Penduduk dan Pembanguna­n Keluarga Negara (LPPKN) 2024 dan perasmian Klinik Fertiliti LPPKN Full Paying Patient (FPP), di sini semalam.

Nancy memberi jaminan, kementeria­n menerusi JKM bersama NADMA akan memastikan agihan bantuan bencana diselarask­an sebaiknya bagi memastikan tidak berlaku keciciran bantuan.

“Koordinasi dengan semua agensi terbabit juga dibuat dengan teliti. Ini pendekatan menyeluruh kerajaan untuk membantu mangsa banjir.

“Setakat ini, juga tiada laporan keciciran bantuan yang ada kes di Rantau Panjang (Kelantan) kerana lokasi menjadi pulau akibat banjir, namun kita sudah ditangani segera,” katanya.

Atur bantuan, sukarelawa­n

Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Selangor dalam perbincang­an untuk menggerakk­an sukarelawa­n negeri bagi membantu proses pembersiha­n pascabanji­r di negeri yang terkesan dengan bencana itu.

Katanya, ketika ini pihaknya sedang berhubung dengan beberapa kementeria­n antaranya Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) bagi mengatur pergerakan bantuan dan sukarelawa­n.

Beliau sedang memuktamad­kan perkara itu pada peringkat pentadbira­n kerajaan negeri.

“Saya sudah mengadakan perbincang­an awal untuk membantu proses pembersiha­n nanti selepas musim banjir. Kita akan buat bersama, terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kita lihat kesannya amat buruk,” katanya.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Nancy melawat ruang klinik pada majlis Jalinan Kasih LPPKN 2024 dan perasmian Klinik Fertiliti LPPKN Full Paying Patient di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Pengerusi LPPKN, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
(Foto BERNAMA) Nancy melawat ruang klinik pada majlis Jalinan Kasih LPPKN 2024 dan perasmian Klinik Fertiliti LPPKN Full Paying Patient di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Pengerusi LPPKN, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia