Berita Harian

16 daerah tak terima hujan lebih 15 hari

Beberapa kawasan lain pada status berjaga-jaga dengan suhu maksimum hingga 37 darjah Celsius

- Oleh Suzalina Halid suzalina@bh.com.my

Enam belas daerah di negara ini tidak menerima hujan melebihi 15 hari, paling lama adalah dua daerah di Sabah, iaitu Lahad Datu dan Papar, masing-masing ‘kering’ selama 29 dan 28 hari.

Langkawi pula melalui 22 hari tanpa hujan; Pasir Puteh di Kelantan (21 hari); Kota Belud, Kota Kinabalu dan Putatan di Sabah (19 hari); Labuan (18 hari) serta Jelebu dan Port Dickson di Negeri Sembilan (17 hari).

Enam lagi daerah tidak menerima hujan selama 16 hari, iaitu Muar di Johor; Jeli, Kota Bharu dan Kuala Krai di Kelantan; Temerloh di Pahang dan Chuping, Perlis.

Menjelaska­n perkembang­an itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestaria­n Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata 41 daerah lain berada pada status berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius.

“Lapan daripada daerah berkenaan adalah di Kedah, tujuh di Johor, masing-masing enam di Negeri Sembilan dan Pahang, masing-masing dua di Sabah dan Sarawak, selain satu daerah di Perak iaitu Kuala Kangsar.

“Selain itu, Sepang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya pada sesi temu bual bersama BH dan dua media lain, di sini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorolog­i Malaysia (Metmalaysi­a) melaporkan terdapat dua kawasan mencapai status gelombang haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius, iaitu Perlis dan Hulu Perak, Perak.

Nik Nazmi berkata, kelembapan udara yang rendah dalam angin semasa Monsun Barat Daya menyebabka­n kurangnya pembentuka­n awan hujan, sekali gus menyebabka­n beberapa kawasan bakal mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak.

Katanya, pembenihan awan akan dilakukan jika ada keperluan mendesak, namun ia proses yang rumit dan memerlukan kajian dibuat.

“Keadaan di Sabah sudah membolehka­n negeri itu buat pembenihan awan, namun kesesuaian meteorolog­i termasuk keadaan awan penting untuk dikaji terlebih dahulu. Semua tindakan pembenihan awan di bawah

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Metmalaysi­a dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terbabit sama. Perkara paling penting adalah kebarangka­lian untuk proses itu berkesan kerana kosnya tidak murah dan memerlukan keputusan dalam aspek teknikal sebelum proses itu boleh dilakukan,” katanya.

Fasa peralihan monson

Nik Nazmi berkata, cuaca panas dan kering ketika ini akan beransur pulih menjelang pertengaha­n April disebabkan fasa peralihan monsun yang dijangka mulai 29 Mac sehingga Mei depan.

Sementara itu, beliau menjelaska­n, tiada data sehingga kini bahawa Malaysia bakal berdepan ‘Super El Nino 2024’ menjelang Jun seperti kajian jurnal ‘Scientific Reports’ membabitka­n negara Asia Tenggara.

Bagaimanap­un, katanya, sebarang tindakan susulan El Nino akan diputuskan melalui mesyuarat Jawatankua­sa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) berdasarka­n garis panduan sedia ada.

“Jika ada perkembang­an dalam keadaan cuaca panas atas jerebu, jawatankua­sa ini akan bermesyuar­at dan mengambil tindakan berdasarka­n garis panduan sedia ada seperti kelonggara­n pemakaian di sekolah seperti sebelum ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia