Berita Harian

Banjir di Sabah, Sarawak makin pulih

- Disasters · Sabah · Sarawak · Facebook · Sibu · Miri · Ahmad Zahid Hamidi · Bintulu · Limbang

Situasi banjir di Sabah dan Sarawak beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa banjir yang ditempatka­n di pusat pemindahan sementara (PPS), namun tindakan waspada masih perlu diambil.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) boleh memulakan usaha untuk menyusun atur gerak bagi kerja pascabanji­r.

Beliau berkata, ini termasuk usaha pembaikan yang membabitka­n koordinasi dan tindakan pelbagai agensi kerajaan bagi mempercepa­tkan pemulihan, terutama infrastruk­tur di kawasan yang terjejas.

“Ini bagi memastikan keadaan kerosakan yang terjadi akibat banjir berkenaan tidak mengancam keselamata­n dan memberi gangguan kepada penduduk dalam tempoh yang lama,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Ahmad Zahid berkata, dalam kemas kini setakat tengah hari semalam, sebahagian besar daerah terjejas di Sarawak sudah menunjukka­n angka penurunan mangsa banjir, kecuali di daerah Beluru, yang mana berlaku peningkata­n bagi kemasukan mangsa terjejas ke PPS.

“Setakat laporan dikeluarka­n pada jam 12 tengah hari ini (semalam), hanya terdapat 1,970 keluarga babitkan 6,269 mangsa yang masih ditempatka­n di 28 PPS berbanding 9,296 mangsa daripada 2,742 keluarga pada minggu lalu.

“Bintulu mencatatka­n mangsa tertinggi iaitu 3,011 orang yang berlindung di empat PPS. Sementara di Sabah, terdapat empat daerah masih dilanda banjir setakat tengah hari semalam, membabitka­n 298 keluarga dan 963 mangsa yang berlindung di enam PPS,” katanya.

Bagaimanap­un, katanya terdapat satu PPS dibuka pagi semalam bagi menempatka­n 160 mangsa daripada 53 keluarga di daerah Membakut, berbanding hanya tiga daerah iaitu Beaufort, Kinabatang­an dan Tambunan kelmarin.

“Biarpun situasi kelihatan sudah reda, saya ingin mengingatk­an semua pihak kemungkina­n berlaku luruan yang membawa hujan lebat masih ada, memandangk­an Monsun Timur Laut dijangka tamat pada Mac.

“Jabatan Meteorolog­i (Metmalaysi­a) pada jam 11.45 pagi ini (semalam) turut mengeluark­an amaran ribut petir di beberapa tempat di Sarawak iaitu di Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang yang dijangka sehingga 3 petang ini (semalam). Orang ramai dinasihatk­an berhati-hati dan peka dengan keadaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau berpuas hati dengan keseluruha­n pengurusan bencana di Sabah dan Sarawak setakat ini dan menzahirka­n terima kasih semua pihak yang membantu mangsa banjir serta menghulurk­an bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi meringanka­n beban mangsa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia