Berita Harian

Polis terima 755 laporan daripada mangsa tragedi

- Crime · Incidents · Subang Jaya · Putra Heights

Subang Jaya: Polis Selangor secara keseluruha­n menerima 755 laporan daripada penduduk yang terjejas di kawasan letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini.

Semua laporan yang diterima membabitka­n kerosakan rumah, kerosakan kenderaan dan kecederaan yang dialami akibat tragedi berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan yang dibuat terhadap pemilik paip gas atau mana-mana kontraktor yang terbabit dalam kerja-kerja di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, 755 laporan yang diterima daripada mangsa adalah berkaitan kerosakan rumah, kenderaan dan kecederaan. Pihak polis tidak menerima sebarang laporan lain daripada perkara ini,” katanya pada sidang media Ops Gas, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas ditanya adakah polis menerima laporan terhadap PETRONAS selaku pemilik paip gas, pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan syarikat-syarikat kontraktor yang melaksanak­an sebarang kerja di kawasan kejadian.

Katanya, pihak polis juga sudah merakam keterangan daripada pemaju yang menjalanka­n kerja-kerja di kawasan kejadian.

“Kita sudah merakam percakapan bagi mendapatka­n maklumat sama ada kerja-kerja mereka memberi kesan kepada kejadian letupan dan sebagainya.

“Proses pengumpula­n maklumat ini penting bagi membolehka­n kita menyelaras­kan bukti yang akan diperoleh selepas siasatan di ground zero atau lokasi kejadian dijalankan dalam masa terdekat,” katanya.

Setakat ini, proses siasatan di ground zero masih belum dimulakan kerana kerja-kerja mendalamka­n kawasan ground zero untuk tujuan siasatan masih dijalankan.

Ini berikutan kerja-kerja mendalamka­n lokasi kejadian dijangka mengambil masa selepas agensi teknikal yang terbabit dalam siasatan sedang membuat teres bagi memastikan struktur tanah kukuh sebelum siasatan dimulakan.

Dalam perkembang­an berkaitan, Hussein mengesahka­n pihaknya menerima satu laporan daripada Pejabat Kesihatan Daerah, berhubung penularan berita tidak benar mengenai kematian seorang kanak-kanak yang juga mangsa kejadian letupan dan kebakaran itu.

“Pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan menfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (MCMC) kerana menyebarka­n berita palsu,” katanya.

 ?? (Foto Hairul Anuar Rahim/bh) ?? Penduduk menggunaka­n trak tunda untuk membawa keluar kereta yang rosak di Kampung Sungai Luar Dalam untuk dibaiki di Putra Heights, semalam.
(Foto Hairul Anuar Rahim/bh) Penduduk menggunaka­n trak tunda untuk membawa keluar kereta yang rosak di Kampung Sungai Luar Dalam untuk dibaiki di Putra Heights, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia