Berita Harian

Cuaca panas di kawasan utara fenomena biasa

- Weather · Disasters · Drought · Natural Disasters · Kuala Lumpur · Malaysia · Terengganu · Indian Ocean · US National Oceanic and Atmospheric Administration · United States of America · Universiti Malaysia Terengganu · University of Montana

Kuala Lumpur: Cuaca panas di kawasan utara baru-baru ini sebenarnya keadaan biasa berlaku di kawasan Pantai Barat Semenanjun­g Malaysia menjelang hujung bulan Januari hingga Februari.

Penyelidik meteorolog­i dan iklim Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang, berkata corak cuaca begitu menandakan musim tengkujuh yang sedang melanda negara kita ini bakal berakhir.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT berkata, kejadian cuaca panas itu tidak dapat digunakan untuk meramalkan sama ada kemarau panjang bakal berlaku.

“Hal ini kerana, kejadian kemarau bukan sahaja bergantung kepada perubahan angin monsun, tetapi juga anomali iklim yang lain seperti kejadian Pengayunan Selatan El Nino, Dwipolar Lautan Hindi, Pengayunan Madden-julian dan lain-lain.

“Pusat Ramalan Iklim, National Oceanic and Atmospheri­c Administra­tion, Amerika Syarikat menjangka kejadian El Nino bakal berlanjuta­n pada musim-musim akan datang, tetapi akan secara perlahan-lahan berubah ke keadaan Pengayunan Selatan El Nino neutral pada sekitar April hingga Jun 2024,” katanya kepada BH.

Cuaca lebih kering

Dalam pada itu, Jing Xiang berkata, kejadian El Nino biasanya akan menyebabka­n keadaan cuaca menjadi lebih kering.

“Jabatan Meteorolog­i Malaysia (Metmalaysi­a) turut menekankan perkara ini dalam tinjauan cuaca jangka panjang yang diuar-uarkan pada 31 Januari lalu.

“Namun demikian, orang ramai tidak perlu berasa terlampau gelisah kerana negara kita bakal dilanda musim peralihan monsun (sekitar Mac hingga Mei), iaitu musim keberangka­lian untuk berlakunya hujan petang akan meningkat, sebelum kita dilanda sekali lagi dengan satu musim kering yang lebih panjang, iaitu Monsun Barat

Daya,” katanya.

Ditanya jika monsun barat daya yang bersifat kering ini akan mendatangk­an kemarau panjang, Jing Xiang berkata, masih terlalu awal untuk diramalkan dengan tepat.

“Hal ini kerana sistem iklim kita amat kompleks. Cerapan, ramalan dan laporan yang dikemas kini dari semasa ke semasa daripada Metmalaysi­a dan agensi lain yang berkaitan diperlukan untuk ramalan yang lebih tepat.

“Bagaimanap­un, penting untuk kita mengingati negara kita sedang mengalami fenomena El Nino, suatu fenomena yang biasanya akan menyebabka­n corak iklim menjadi lebih kering berbanding daripada biasa.

“Kita mesti sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi cabaran cuaca kering ini, dan peka kepada maklumat terkini yang akan disalurkan oleh pihak berkenaan, seperti Met Malaysia,” katanya.

 ?? (Foto Mikail ONG/BH) ?? Keadaan sawah padi yang kering kontang dan tanah merekah di Balik Pulau berikutan fenomena cuaca panas melanda negara.
(Foto Mikail ONG/BH) Keadaan sawah padi yang kering kontang dan tanah merekah di Balik Pulau berikutan fenomena cuaca panas melanda negara.
 ?? ?? Chung Jing Xiang
Chung Jing Xiang

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia