Kesiapsiagaan berasaskan sains perkasa pengurusan bencana negara
Kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi digariskan sebagai hala tuju strategik bagi memperkasa pengurusan bencana negara dengan lebih tersusun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata pengurusan bencana tidak boleh lagi bergantung kepada institusi semata-mata.
“Kita mesti memanfaatkan data raya, analitik ramalan serta integrasi maklumat cuaca, geospatial dan risiko sosial. Sistem amaran awal pintar perlu diperkukuh dan pendekatan anticipatory action mesti dijadikan amalan supaya kita bertindak sebelum bencana berlaku, bukan hanya selepas kerosakan terjadi,” katanya berucap menyampaikan amanat tahun baharu 2026 kepada warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim serta Komander Pasukan
Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Abdul Manaf Che Isa.
Ahmad Zahid berkata, hala tuju strategik lain adalah tindakan pantas, terselaras dan berdisiplin serta kemanusiaan berteras nilai dan empati.
“Kecekapan di lapangan bergantung kepada struktur arahan yang jelas, protokol respons ke
bangsaan yang standard serta latihan bersepadu dan simulasi krisis yang konsisten.
“Dalam setiap tindakan, keselamatan dan maruah mangsa mesti menjadi keutamaan. Pendekatan berpusatkan rakyat perlu menjadi asas, dengan bantuan disalurkan secara cepat, adil dan berintegriti,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid
mahu pengurusan Monsun Timur Laut 2025/2026 sebagai satu penanda aras baharu dalam pengurusan bencana negara.
“Persediaan awal dimulakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), disusuli penyelarasan konsisten peringkat lapangan membuktikan (kejayaan),” katanya.