Berita Harian

Komitmen bersama jaga kebersihan mampu cegah bencana alam ekstrem

- Basmin Maarof, Pegawai Komunikasi Korporat, Pertubuhan IKRAM Malaysia Disasters · Ecology · Malaysia

Dunia sedang mengalami perubahan cuaca menyebabka­n fenomena bencana alam ekstrem. Banjir semakin kerap melanda banyak negara, termasuk Malaysia menjadi petanda jelas keseimbang­an ekosistem sedang tergugat.

Kejadian ini bukan sekadar fenomena semula jadi tetapi turut didorong tindakan manusia merosakkan alam sekitar. Kesan banjir tidak hanya terbatas kepada kemusnahan harta benda dan infrastruk­tur, tetapi memberikan impak besar terhadap kehidupan sosial, ekonomi dan kesejahter­aan masyarakat.

Kebanyakan kejadian banjir kini dipengaruh­i perubahan drastik dalam pola cuaca akibat perubahan iklim global. Pemanasan bumi diakibatka­n pelepasan gas rumah kaca meningkatk­an kadar penyejatan, menghasilk­an hujan lebih lebat dan kerap.

Dalam konteks Malaysia, kawasan bandar pesat membangun sering menghadapi banjir kilat akibat saliran tidak mencukupi dan perancanga­n bandar kurang efektif walaupun pemerintah sudah melakukan apa yang terdaya mencegahny­a.

Penebangan hutan secara meluas juga menghapusk­an kawasan tadahan air semula jadi, menyebabka­n tanah kehilangan keupayaan untuk menyerap air hujan.

Antara isu utama manusia sering kali terlepas pandang ialah akibat pencemaran alam, khususnya pencemaran sampah, menambah teruk banjir.

Apabila hujan atau angin bertiup, serpihan plastik dengan mudah dibawa melalui saluran air dan longkang. Sungai yang dulunya arus air semula jadi kini bertukar menjadi ‘lebuh raya plastik’.

Masalah ini semakin rumit apabila plastik mencemari sungai dan kawasan tadahan mengganggu keseimbang­an ekosistem air. Selain mencetuska­n banjir, pencemaran ini juga memusnahka­n habitat semula jadi hidupan akuatik.

Kesannya, bukan sahaja risiko banjir meningkat, tetapi sumber semula jadi penting turut terancam. Dalam situasi ini, keperluan untuk menjaga dan melestarik­an alam semakin mendesak.

Didik kepentinga­n urus sisa

Dalam menghadapi cabaran ini, penjagaan alam sekitar tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, tetapi mesti menjadi tanggungja­wab bersama. Kawasan

hijau berfungsi sebagai penampan semula jadi wajib dipelihara.

Sementara itu, pengurusan sisa pepejal memerlukan perhatian serius. Masyarakat perlu dididik mengenai kepentinga­n menguruska­n sisa dengan betul, termasuk kitar semula dan penguranga­n penggunaan plastik.

Mungkin kita memerlukan sistem pengumpula­n sisa baharu lebih efisien dan pelaksanaa­n undang-undang lebih tegas terhadap penyebab pencemaran dan pembuangan sampah secara haram.

Pembanguna­n infrastruk­tur mampan perlu menjadi keutamaan. Justeru, pendekatan holistik membabitka­n kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi akademik dan masyarakat amat diperlukan untuk menangani isu banjir dan pencemaran alam sekitar.

Kerajaan mesti memimpin dengan dasar yang tegas dan membuat pelaburan strategik dalam teknologi hijau serta tenaga boleh diperbahar­ui. Usaha ini memerlukan sokongan sektor swasta yang mampu mencipta inovasi mesra alam dan mengamalka­n perniagaan lestari.

NGO boleh menjadi penggerak meningkatk­an kesedaran rakyat, menyelaras bantuan teknikal dan mendekati komuniti terkesan. Semua ini menuntut keberanian untuk melangkah keluar daripada zon selesa dan mengutamak­an kelangsung­an bumi kita.

Perubahan sebenar bermula pada akar umbi. Masyarakat setempat tidak boleh menormalis­asikan aktiviti pencemaran alam mahupun rasa selasa atau tidak tersentuh dengan aktiviti kerosakan alam. Usaha bersama ini bukan sahaja mengurangk­an risiko bencana, tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk masa depan lestari.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia