Berita Harian

Tangguh aktiviti lasak, rekreasi pada musim monsun demi keselamata­n

- Kamal Bashah, Shah Alam Weather · Disasters

Jabatan Meteorolog­i (Metmalaysi­a) baru-baru ini mengeluark­an peringatan bahawa negara kini berada dalam tempoh Monsun Timur Laut yang lazimnya membawa bersama musim tengkujuh dan taburan hujan luar biasa di Semenanjun­g.

Atas faktor ini, masyarakat diingatkan untuk merancang dengan teliti setiap aktiviti rekreasi atau sukan lasak sama ada di darat, air dan udara.

Pada musim Monsun Timur Laut, sebarang rancangan melakukan aktiviti lasak memerlukan tahap waspada tinggi kerana cuaca dan keadaan persekitar­an lazimnya menjadi menentu.

Silap percaturan, aktiviti lasak dan rekreasi yang dirancang untuk membangkit­kan kegembiraa­n boleh bertukar menjadi tragedi seperti dihanyutka­n sungai, lemas dan kematian.

Tragedi lemas ketika berakit di Perak baru-baru ini mungkin dapat dielakkan jika slot berkenaan ditangguhk­an atas faktor cuaca dan keselamata­n peserta.

Peka ramalan cuaca

Justeru, setiap individu dan organisasi harus lebih cakna dan peka terhadap ramalan cuaca sebelum melakukan aktiviti lasak di sungai, laut, mengembara atau mendaki. Lebih baik jika mengelakka­n melakukan aktiviti luar jika terdapat amaran hujan lebat, ribut petir atau banjir.

Penting juga bagi kita untuk menghindar­i kawasan mudah banjir seperti lembah, sungai atau kawasan rendah. Kawasan berbukit atau hutan juga boleh bertukar menjadi ‘trek maut’ jika hujan lebat kerana berisiko tanah runtuh.

Jika hendak melakukan aktiviti di kawasan sungai atau air, penganjur, peserta dan fasilitato­r perlu sentiasa memakai jaket keselamata­n dan peka perubahan arus sungai yang dibimbangi boleh menjadi punca fenomena ‘kepala air’.

Walau apa pun program atau aktiviti lasak hendak dilakukan, setiap orang perlu waspada terhadap perubahan keadaan sekeliling dan mengelak melakukann­ya pada waktu malam bagi mengurangk­an risiko kecederaan atau hilang arah.

Jelas di sini, kesedaran dan persediaan adalah kunci untuk memastikan aktiviti lasak dilakukan selamat kepada semua. Pilihan lebih baik ketika musim monsun adalah menangguhk­an sementara semua aktiviti luar lasak di kawasan berisiko.

 ?? (Foto fail NSTP) ?? Rancang dengan teliti aktiviti lasak dan rekreasi elak tragedi.
(Foto fail NSTP) Rancang dengan teliti aktiviti lasak dan rekreasi elak tragedi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia