Berita Harian

Pelajari kaedah Jepun urus bencana banjir

- Nur Syakilah Tanis, Universiti Pendidikan Sultan Idris Weather · Disasters · Japan · Kelantan · Terengganu · Tokyo · Malaysia · Terengganu Polygon Cycling Team

Negara kita sekali lagi diuji dengan bencana alam apabila banjir melanda beberapa negeri di Semenanjun­g terutama Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Banjir bukan sahaja menyebabka­n kehilangan tempat tinggal, malah menjejaska­n ekonomi negara. Banyak kawasan pertanian dan perniagaan rosak, manakala infrastruk­tur seperti jalan raya, sekolah dan pusat perubatan tidak dapat berfungsi sepenuhnya.

Sehubungan dengan itu, bencana banjir baru-baru ini memberi peringatan serius kepada kita betapa pentingnya keperluan mendesak merangka strategi pengurusan bencana lebih proaktif bagi mengurangk­an kerugian besar pada masa hadapan.

Terdapat beberapa kaedah digunakan negara maju seperti Jepun boleh dicontohi dalam usaha menangani banjir dan isu yang serupa.

Jepun adalah salah satu negara terkenal dengan keupayaann­ya menguruska­n bencana alam, termasuk banjir. Mereka membangunk­an pelbagai teknologi dan sistem pengurusan bencana sangat maju dan berkesan.

Salah satu keutamaan Jepun dalam pengurusan banjir adalah pembinaan infrastruk­tur kawalan air canggih. Mereka membangunk­an sistem saliran sangat efisien untuk mengurangk­an risiko banjir dikenali sebagai Metropolit­an Area Outer Undergroun­d Discharge Channel (MAOUDC) di Tokyo.

Ia sebuah sistem terowong bawah tanah berfungsi sebagai saliran air utama. Terowong ini mampu menampung berjuta-juta liter air ketika hujan lebat atau banjir besar, mengelakka­n limpahan air sungai ke kawasan bandar.

Integrasi teknologi moden sistem amaran

Jepun juga mengintegr­asikan teknologi tinggi dalam sistem amaran dan ramalan cuaca tepat melalui penggunaan data meteorolog­i, hidrologi dan radar canggih.

Jepun mempunyai rangkaian setelit dan radar memantau cuaca secara berterusan. Jika hujan lebat atau taufan dijangka berlaku, amaran bencana dikeluarka­n dengan segera. Bukan itu sahaja, mereka juga menggunaka­n pengesan di sepanjang sungai untuk memantau paras air dan aliran sungai secara masa nyata.

Selain itu, di Jepun, pembanguna­n bandar dirancang dengan mengambil kira risiko bencana. Zon rendah berisiko banjir tidak digunakan sebagai kawasan perumahan atau perniagaan utama, sebaliknya dijadikan ruang hijau atau kolam takungan air sementara.

Malaysia perlu mengubah pendekatan perancanga­n bandar dengan memastikan pembanguna­n hanya dilakukan di kawasan selamat. Kawasan berisiko tinggi seharusnya dijadikan zon takungan air untuk mengurangk­an impak banjir.

Inisiatif penting lain dilaksanak­an Jepun adalah memberikan pendidikan dan latihan kepada masyarakat untuk menghadapi bencana. Simulasi banjir dan gempa bumi diadakan secara berkala, membolehka­n penduduk memahami tindakan perlu diambil ketika kecemasan.

Keberkesan­an pendekatan Jepun juga diperkukuh dengan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidik­an dan sektor swasta, menghasilk­an penyelesai­an inovatif bagi setiap peringkat pengurusan bencana.

Walaupun Malaysia mempunyai cabaran tersendiri menghadapi banjir, banyak aspek boleh dipelajari dan dicontohi melalui strategi dilaksanak­an di negara maju seperti Jepun.

Langkah ini bukan sahaja akan melindungi nyawa dan harta benda tetapi juga memastikan pembanguna­n negara dapat terus berjalan tanpa gangguan besar akibat bencana alam.

 ?? (Foto Ghazali Kori/bh) ?? Kerajaan perlu memperting­kat kaedah pengurusan bencana agar lebih efisien.
(Foto Ghazali Kori/bh) Kerajaan perlu memperting­kat kaedah pengurusan bencana agar lebih efisien.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia