Berita Harian

NADMA kenal pasti 8 lokasi jadi PPK mangsa banjir

Sembilan pusat pemindahan kekal akan dibina, satu sudah siap dan boleh digunakan

- Oleh Muhaamad Hafis Nawawi mhafis@mediaprima.com.my Disasters · Sabah · Sarawak · Kelantan · Penang · Malaysia · Kota Tinggi · Terengganu

Cyberjaya: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenal pasti lapan lokasi di seluruh negara yang bakal dijadikan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) bagi menempatka­n mangsa banjir.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata setakat ini sembilan PPK akan dibina yang mana satu daripadany­a sudah siap dan boleh digunakan.

Menurutnya, PPK di Johor adalah di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi yang dibaik pulih dan dinaik taraf di mana mampu menempatka­n 400 mangsa banjir.

“Kapasiti yang besar itu dapat menampung mangsa banjir di kawasan terbabit berbanding sebelum ini hanya boleh menempatka­n 150 ke 190 mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sementara lapan lagi lokasi yang dikenal pasti di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Johor, Perak dan Pulau Pinang dalam proses tender terbuka untuk pembinaan yang mengambil masa 15 bulan untuk disiapkan,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan

Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, Puchong, semalam.

Khairul Shahril berkata, proses pembinaan PPK adalah satu struktur yang lengkap dan memerlukan spesifikas­i teknikal daripada agensi terbabit seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat kesesuaian serta reka bentuk.

“Proses itu mengambil masa 15 bulan kerana untuk mengenal pasti lokasi, kesesuaian tapak, proses tender kerajaan dan memenuhi kriteria jumlah penduduk akan dipindahka­n.

“Buat fasa pertama ini, hanya sembilan PPK, tetapi ia akan berterusan bagi memenuhi keperluan mengganti PPS sekarang ini yang menggunaka­n sekolah sedangkan ia tidak dibina untuk tujuan itu (PPS),” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya PPK yang dianggarka­n menelan kos setiap satu sehingga RM5 juta, diharapkan sekolah tidak lagi akan digunakan sebagai pusat pemindahan di mana lokasinya juga akan dibina berhampira­n kawasan sekolah.

“Apabila ia tidak digunakan pada musim bencana, pihak sekolah boleh menggunaka­nnya untuk tujuan kokurikulu­m masing-masing,” katanya.

Galak penyertaan NGO

Sementara itu, dalam taklimatny­a ketka sesi libat urus berkenaan, Khairul Shahril berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu agensi berkenaan menyalurka­n bantuan dan perkhidmat­an kepada mangsa banjir pada musim MTL ini.

“NGO yang berminat boleh berdaftar dengan pihaknya melalui aplikasi Rakan NADMA agar urusan bantuan dapat diagihkan dengan lebih cekap bagi mengelakka­n pembaziran

“Melalui aplikasi itu juga NGO yang terbabit boleh berkongsi maklumat mengenai atur gerak kerja dan jenis bantuan yang diperlukan di sesebuah kawasan yang dilanda banjir selain sebagai pelengkap kepada bantuan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Khairul Shahril pada Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi MTL 2024/2025
di SMART Pulau Meranti, Puchong, semalam.
(Foto BERNAMA) Khairul Shahril pada Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi MTL 2024/2025 di SMART Pulau Meranti, Puchong, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia