Berita Harian

Penduduk bimbang gelombang kedua banjir

Mangsa bah sentiasa bersedia, tak sanggup cuci rumah berulang kali

- Oleh Omar Ahmad dan Izz Laily Hussein bhnews@bh.com.my Disasters · Kota Tinggi · Malaysia · Johor Bahru · Kluang

Kota Tinggi: Mangsa banjir di daerah ini bimbang dengan luruan hujan kedua yang dijangkaka­n berlaku mulai esok sehingga Sabtu ini.

Penduduk Taman Aman, Mohd Hairy Musa, 40, berkata dia masih tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) dan pulang ke rumah sekejap untuk membuang barangan yang rosak.

Katanya, tidak berniat mencuci bersih rumah kerana bimbang dinaiki air lagi.

“Memang bimbang sebab Jabatan Meteorolog­i Malaysia (Metmalaysi­a) ada maklumkan gelombang banjir akan berlaku lagi. Saya balik rumah sebab mahu kemas dan buang barang rosak.

“Ini bukan banjir biasa, air lumpur dan motosikal kalau tak cepat cuci akan kering dan susah hendak cuci, berbau busuk.

“Saya memang masih duduk di PPS tak larat nak mengharung

banjir. Taman Aman ini banjir arus deras, kalau pakai bot biasa pun boleh hanyut rasanya,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Jumlah mangsa berkuranga­n

Penduduk, Nur Asna Asyikin Khairudin, 25 memaklumka­n banyak barangan rosak kerana tidak sempat diselamatk­an ketika banjir pada Jumaat lalu.

Beliau tidak mengemas rumah sepenuhnya kerana bimbang gelombang banjir datang lagi.

“Tak sanggup nak cuci rumah berulang kali. Saya pindahkan barang ke tempat lebih tinggi takut gelombang kedua banjir lebih tinggi berbanding Jumaat lalu,” katanya.

Di Johor Bahru, jumlah mangsa banjir di negeri ini berkuranga­n daripada 2,625 orang pada 12 tengah hari semalam kepada 1,860 orang, setakat jam 4 petang semalam.

Selain jumlah mangsa banjir, pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi juga menurun kepada 17 selepas 13 PPS ditutup sehingga petang semalam.

Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir kini hanya membabitka­n 537 keluarga berbanding 761 keluarga pada tengah hari semalam.

“Enam PPS di Kota Tinggi ditutup menjadikan mangsa banjir di daerah itu tinggal 1,016 orang

daripada 289 keluarga berbanding 1,322 orang daripada 390 keluarga.

“Mereka masih berada di lapan PPS di daerah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Azmi juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, lima PPS di Pontian juga sudah ditutup, sekali gus jumlah mangsa banjir di daerah berkenaan berkuranga­n kepada 381 orang (104 keluarga) berbanding 716 orang (194 keluarga).

Katanya, terdapat lima PPS masih beroperasi di Pontian.

Di Kluang, kini tinggal 410 mangsa daripada 128 keluarga selepas dua PPS ditutup, manakala di Johor Bahru masih kekal dengan 53 mangsa daripada 16 keluarga di sebuah PPS.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Penduduk Taman Aman Kota Tinggi membuang barang yang rosak selepas dilanda banjir.
(Foto BERNAMA) Penduduk Taman Aman Kota Tinggi membuang barang yang rosak selepas dilanda banjir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia