Berita Harian

Rumah dalam binaan ‘hilang’ dibadai ombak

Kediaman dibina sejak 8 tahun lalu tinggal tapak

- Oleh Zaid Salim bhnews@bh.com.my Disasters · Real Estate · Residential Real Estate · Business · George Town · Terengganu

Impian sebuah keluarga menyambut Aidilfitri di rumah baharu berkecai apabila kediaman yang masih dalam pembinaan di Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, sejak lapan tahun lalu roboh dibadai ombak.

Zamri Sulong, 42, berkata rumah berkenaan yang dibina di atas tanah peninggala­n arwah bapanya sudah siap 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac ini.

Katanya, dia bercadang untuk menduduki rumah berkenaan pada Aidilfitri, namun semuanya berkecai apabila kini hanya tapak rumah yang tinggal selepas semuanya sudah dihanyutka­n ke laut.

“Lapan tahun saya buat rumah ini sedikit demi sedikit menggunaka­n wang sendiri.

“Hanya 70 peratus lagi nak siap. Atap pun sudah beli, hanya tunggu untuk pasang sahaja. Kalau dikira sejak awal bina hingga sekarang, saya sudah mengeluark­an RM40,000,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada sesi dialog bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman bersama 40 mangsa hakisan pantai di Kampung Pantai dan Kampung Tanjung Batu Rakit, di Pejabat DUN Batu Rakit, di sini semalam.

Hanya tinggal geran

Zamri berkata, selain rumah, dia turut kehilangan tanah peninggala­n arwah bapa yang kini hanya tinggal geran, manakala tanah sudah berada di dalam laut.

Katanya, dia tidak tahu bagaimana hendak membayangk­an kesedihan ketika melihat rumah berkenaan runtuh sedikit demi sedikit sebelum dibawa ombak.

“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya, isteri dan empat anak melihat keadaan itu.

“Lapan tahun saya bina rumah ini untuk beri keselesaan kepada keluarga tetapi akhirnya penat lelah saya hilang begitu sahaja.

“Walaupun sedih, kami reda dengan musibah yang berlaku. Cuma sekarang tidak tahu macam mana nak buat rumah baharu sedangkan tanah pun tak ada,” katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, dia bersama keluarga terpaksa tinggal di rumah sewa yang dibiayai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Kampung Mengabang Telong, di sini.

Zamri berkata, dia berterima kasih kepada MAIDAM yang membiayai sewa rumah berkenaan.

“MAIDAM hanya bayar (sewa) selama setahun, selepas itu saya terpaksa memikirkan bagaimana hendak membayar sewa rumah sedangkan kerja pun hanya mampu untuk menyara keluarga,” katanya yang melakukan kerja kampung sebagai punca rezeki.

Zamri berkata, dia kesal apabila kerajaan seolah-olah meminggirk­an nasib mangsa hakisan di kampung berkenaan apabila tidak ada sebarang bantuan diterima bagi meringanka­n beban dan kesedihan akibat bencana alam itu.

“Kalau mangsa banjir yang ada antaranya tidak membabitka­n kehilangan harta benda dapat bantuan tetapi kami mangsa hakisan yang kehilangan rumah, tanah langsung tidak mendapat apa-apa sumbangan,” katanya.

 ?? (Foto Zaid Salim/bh) ?? Zamri di kawasan rumah yang kini tinggal tapak selepas hanyut dibawa ombak akibat hakisan di Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus.
(Foto Zaid Salim/bh) Zamri di kawasan rumah yang kini tinggal tapak selepas hanyut dibawa ombak akibat hakisan di Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia