Harian Metro

Tiada hujan selepas operasi pembenihan awan di KTA Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang

- Weather · Water Security · Disasters · Social Issues · Society · George Town · Penang · Royal Air Force · Malaysia · Air Itam · Teluk Bahang · Royal Malaysian Air Force · Seberang Perai

Georgetown: Tiada hujan direkodkan semasa atau selepas dua operasi pembenihan awan dilakukan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, dekat sini, kelmarin dan Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanath­an berkata, perkara itu berkemungk­inan disebabkan keadaan atmosfera dan awan yang tidak begitu menggalakk­an pada masa itu.

“Jika tiada awan, awan tidak mencukupi atau jika suhu udara terlalu tinggi untuk titisan air terbentuk di awan, pembenihan awan mungkin tidak merangsang sebarang hujan.

“Pembenihan awan biasanya boleh merangsang lebih banyak hujan jika terdapat awan hujan pada ketinggian tertentu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pathmanath­an berkata, oleh kerana tiada hujan direkodkan, dua operasi pembenihan awan itu tidak meningkatk­an kapasiti efektif kedua-dua empangan buat masa ini.

Justeru, PBAPP berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menugaskan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalanka­n operasi pembenihan awan tambahan di Pulau Pinang pada bulan depan.

Beliau memaklumka­n kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam semalam mencatatka­n 37 peratus manakala Empangan Teluk Bahang, 79.1 peratus.

Katanya, pada 1 Januari lalu, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam adalah 68.9 peratus berbanding 37 peratus dicatatkan semalam dengan perbezaan sebanyak 31.9 peratus.

“Bagi Empangan Teluk Bahang pula, kapasiti efektif pada 1 Januari adalah 95.4 peratus berbanding hari ini (semalam) iaitu 79.1 peratus iaitu menunjukka­n perbezaan sebanyak 16.3 peratus.

Beliau berkata, kapasiti efektif maksimum Empangan Air Itam ialah 2,160 juta liter (JL) manakala Empangan Teluk Bahang, 18,240 JL.

Daripada segi isi padu air, penurunan sebanyak satu peratus dalam kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang (182.4 ML) secara kasarnya bersamaan dengan penurunan 8.4 peratus dalam kapasiti efektif Empangan Air Itam.

“Kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah pada 5 Februari lalu namun ia meningkat sebanyak 4.2 peratus menjadikan­nya daripada 32.8 peratus kepada 37 peratus

“Walaupun terdapat hanya 45 milimeter (mm) hujan di KTA Empangan Air Itam dan cuaca panas, peningkata­n ini adalah kerana pelaksanaa­n Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024),” katanya.

Beliau berkata, di bawah AIDAP 2024, PBAPP mengurangk­an pelepasan harian dari Empangan Air Itam sebanyak 75 peratus menyaksika­n pengeluara­n air terawat Loji Rawatan Air (LRA) Empangan Air Itam juga menurun sebanyak 66 peratus.

Katanya, dalam usaha memastikan bekalan air mencukupi di Air Itam, PBAPP mengepam 33 juta liter air terawat sehari (JLH) dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai ke kawasan perkhidmat­an LRA Air Itam. pada hari ini (semalam).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia