Berita Harian

Ambil suntikan vaksin sebelum lawati kawasan jangkitan difteria

-

Kuala Lumpur: Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM) mengesyork­an Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan individu dewasa yang mengembara di kawasan berisiko tinggi jangkitan difteria mendapatka­n pelalian vaksin.

Ia berikutan penyakit berkenaan ‘disimpan’ dalam sistem pernafasan sekurangku­rangnya dua hingga lima hari, sekali gus berisiko disebarkan kepada orang sekeliling khususnya kanak-kanak.

Presiden PERDIM, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, berkata penyakit berkenaan mudah berjangkit dan tersebar menerusi sentuhan fizikal kulit atau menghidu titisan pernafasan pesakit.

Katanya, individu berisiko seperti bayi, kanak-kanak dan orang tua yang terkena jangkitan berkenaan berisiko meninggal dunia dalam masa tiga hingga empat hari saja.

“Kadar kematian akibat difteria paling tinggi dalam kalangan bayi dan orang tua jika mereka tidak mendapatka­n pelalian suntikan booster (penggalak) setiap 10 tahun.

“Pembawa kuman (pesakit) ini sensitif terhadap faktor alam sekitar seperti kekeringan, kepanasan dan sinaran matahari. Difteria disebarkan daripada kulit, saluran pernafasan dan sentuhan dengan pesakit difteria itu sendiri,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Kelmarin, Kementeria­n Kesihatan mengesahka­n 11 kes penyakit difteria direkodkan di Semenanjun­g, membabitka­n dua kematian, masing-masing satu di Melaka dan Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata difteria adalah penyakit disebabkan jangkitan bakteria Corynebact­erium diphteriae yang tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan menyebabka­n radang di bahagian tekak serta bengkak leher.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (PPM), Dr John Chew mencadangk­an pencegahan awal seperti menutup sekolah dengan segera bagi mengelak wabak difteria terus merebak.

Katanya, ia berikutan pemberian vaksin akan mengambil masa untuk bertindak, selain perlu menghentik­an wabak segera dengan cara mengenal pasti penyakit difteria lebih awal, mendapatka­n rawatan dan melakukan pengasinga­n.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia