Berita Harian

Berdosa tidak ambil vaksin jika terbukti darurat

Islam larang umat meletakkan diri sendiri, keluarga dalam bahaya

- Oleh Muhammad Mustakim Ramli

Individu yang tidak mengambil langkah pencegahan seperti vaksin boleh dikategori­kan berdosa, sekiranya mengetahui potensi bahaya yang mungkin berlaku jika tidak berbuat demikian.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata keadaan itu berbeza jika individu itu mencari alternatif lain selain daripada vaksin, untuk mencegah penyakit tertentu dan yakin mereka serta orang di bawah jagaannya tidak dijangkiti penyakit berkenaan.

“Islam melarang umatnya meletakkan diri sendiri dalam bahaya, jadi melindungi diri daripada bahaya penyakit adalah satu kemestian.

“Contohnya, jika vaksin boleh mencegah penyakit dan menyelamat­kan nyawa, ia harus diambil kecuali ia terbukti mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan seseorang,” katanya kepada pemberita selepas Program Hayati Ramadan, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas dua kes kematian kanak-kanak akibat difteria iaitu masing-masing di Kedah dan Melaka.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mengesahka­n 11 kes difteria dengan dua kematian direkodkan di Kedah dan Melaka, dengan majoriti mangsa tidak menerima imunisasi lengkap untuk penyakit itu.

Mohd Asri berkata, orang ramai tidak perlu menyeberan­gi batas dalam agama dengan menyebarka­n fakta kononnya vaksin mengandung­i unsur syubhah atau boleh dipersoalk­an atau diragui dari segi status halal.

Vaksin dibenarkan

“Saya ingin tegaskan bahawa vaksin dibenarkan sehingga ia terbukti berbahaya atau syubhah. Ia adalah langkah untuk menyelamat­kan nyawa dan perlu diambil untuk melindungi diri daripada penyakit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata pihaknya mengesahka­n sedang menunggu hasil laporan daripada Institut Penyelidik­an Perubatan (MRI) di ibu negara, mengenai status lapan kes disyaki difteria di Kedah.

Beliau berkata, ia termasuk sampel yang diambil daripada kanak-kanak berusia dua tahun yang disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat komplikasi difteria kelmarin.

“Daripada keseluruha­n lapan kes itu, lima kanak-kanak disyaki wabak difteria termasuk yang disahkan maut tidak mendapat imunisasi difteria,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia