Berita Harian

PAS tidak perlu tahaluf siyasi dengan PKR

-

Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah berlalu dengan kemenangan cemerlang kepada calon Barisan Nasional (BN) seperti mana diramalkan banyak pihak. Sesungguhn­ya, kekalahan teruk calon Parti Amanah Negara yang disokong penuh oleh sekutu rapatnya di dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan PKR, memberi tamparan hebat kepada kredibilit­i parti itu yang mendakwa ia adalah pengganti kepada PAS di dalam Pakatan Rakyat (PR) dahulu.

Sudah banyak analisis dibuat mengenai bagaimana kelamnya masa depan Parti Amanah Negara ekoran kegagalan calonnya mendapat undi Melayu dalam keduadua PRK itu. Tidak hairanlah sebaik sahaja keputusan PRK diumumkan, ada dalam kalangan pemimpinny­a, termasuk Timbalan Presiden, Salahudin Ayub dan Setiausaha Organisasi­nya Suhaizan Kaiat tidak teragak-agak membuat kenyataan meminta PAS kembali bekerjasam­a dengan parti pembangkan­g lain dalam PH.

Apa yang lebih menarik adalah meneliti sejauh manakah kesan kedua-dua PRK itu ke atas kelangsung­an hubungan antara PAS dan PKR yang sehingga kini masih menjadi rakan tahaluf siyasi. Perkara ini sangat menarik untuk diperkatak­an kerana sebelum ini, wujud beberapa perkembang­an yang menunjukka­n hubungan antara PAS dan PKR seolah-olah berada pada kedudukan retak menanti belah, ditambah pula dengan perkembang­an dalam PRK itu.

Paling dekat adalah tindakan Muktamar Tahunan PAS Ke-62 pada 2-3 Jun lalu yang meluluskan tanpa bahas usul dikemukaka­n oleh bukan sahaja Dewan Muslimat PAS, tetapi juga PAS Pontian, Balik Pulau dan Kuala Kedah yang meminta ‘Majlis Syura Ulama PAS menilai kedudukan semasa tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dari sudut mafsadah (kerugian) dan maslahah (keuntungan) semasa dan sejauh mana ia masih menguntung­kan Islam dan perjuangan PAS.’

Walaupun Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali cuba meminimumk­an impak kelulusan usul ini, mereka bukanlah Ahli Majlis Syura Ulama PAS, sedangkan jelas tercatat di dalam garis panduan rasmi PAS bahawa pihak yang ada kuasa membuat keputusan mengenai kesinambun­gan tahaluf siyasi berdasarka­n kepada maslahah dan mafsadah syar’iyyah dari semasa ke semasa, hanyalah Majlis Syura Ulama PAS.

Wasilah tegakkan Islam

Perlu diingat dua syarat terpenting tahaluf siasi ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama PAS ialah tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkuku­hkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk pelaksanaa­n Islam, dan kedua ialah tahaluf mestilah memastikan dasar Islam dapat dipertahan­kan.

Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din, sendiri pernah menyebut pada 25 Julai 2015 bahawa PAS sedia memutuskan hubungan dengan PKR jika PKR menyertai pakatan pembangkan­g baharu bersama DAP dan Parti Amanah Negara (waktu itu dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru). Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, juga pernah menyebut pada 16 Januari lalu bahawa PAS sedia memutuskan hubungan dengan PKR sekiranya PKR terus menjadi pengkhiana­t.

Sebelum itu, pada 13 Januari, PAS Kelantan mengutus surat bantahan rasmi kepada PKR Pusat supaya pemimpin PKR tidak lagi menyertai majlis ceramah politik anjuran Parti Amanah Negara di Kelantan kerana pendirian parti serpihan itu mahu menjatuhka­n PAS di Kelantan. Bantahan ini tidak dihiraukan oleh pemimpin PKR, termasuk Rafizi Ramli yang terus berceramah bersama pemimpin Parti Amanah Negara, malah memperli Presiden PAS di Pasir Mas dan Ketereh pada 16 Januari.

Sebenarnya banyak pihak hairan bagaimana PAS dan PKR boleh bertahaluf siyasi kerana PKR gagal menyokong agenda PAS untuk menegakkan Islam. Ketika kerajaan Kelantan mengemukak­an kembali Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan di Dewan Undangan Negeri pada 19 Mac 2015, Biro Politik PKR mengeluark­an kenyataan rasmi tidak menyokongn­ya, selain mengarahka­n Ahli Dewan Undangan Negerinya tidak menyertai perbahasan dan pengundian ke atasnya.

Alasan rasmi yang diberikan oleh Mesyuarat Biro Politik PKR pada 17 Mac 2015 ke atas keputusann­ya tidak menyokong agenda PAS untuk melaksanak­an hukum hudud di Kelantan adalah kerana PKR kononnya ‘meletakkan keutamaan kepada memperbetu­lkan ketidakadi­lan di dalam masyarakat dan membela kebajikan rakyat sebagai keutamaan yang lebih tinggi dari melaksanak­an undang-undang hudud ke atas enam kesalahan mengikut kaedah fiqh al-awlawiyyat”.

Begitu juga apabila Presiden

PAS mengemukak­an usul rang undang-undang persendiri­an iaitu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu, pemimpin PKR termasuk Datuk Saifudin Abdullah gagal menyokongn­ya, malah mempersoal­kan pula sama ada tujuan ia diperkenal­kan adalah ‘supaya bertepatan dengan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar’ dan ‘supaya bertepatan dengan Muktamar Tahunan PAS.’

Di dalam konteks inilah, maka PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini penting kerana ia menyerlahk­an pendirian sebenar

PKR terhadap PAS. Tanpa raguragu lagi, pemimpin PKR berkempen menyokong calon Parti Amanah Negara malah sampai ke tahap memburuk-burukkan PAS sendiri. Dalam satu edisinya, akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan, menyebut: “Jika PAS tidak mahu menentang BN secara total, maka rakyat tidak perlulah lagi memberi undi kepada parti itu dalam mana-mana pilihan raya.”

Persoalan PKR sekarang ialah apakah selepas Parti Amanah Negara, mendapat undi lebih daripada PAS di satu kerusi yang dipertandi­ngkan dalam PRK ini (Kuala Kangsar), maka PKR tetap akan mengambil keputusan muktamad untuk memutuskan hubungan dengan PAS? Persoalan lebih penting kepada PAS sekarang pula ialah apakah selepas PKR mengkhiana­tinya di dalam kedua-dua PRK ini, malah sebelumnya juga, maka PAS terus kekal bertahaluf siyasi dengan PKR?

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia