Berita Harian

PERHEBAT tawar 25 kursus baharu latihan peralihan tentera

-

Sungai Buloh: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) akan memperkena­lkan 25 lagi kursus baharu untuk latihan peralihan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tanpa mendedahka­n jenis kursus yang ditawarkan, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, berkata penawaran kursus baharu itu selaras dengan inisiatif PERHEBAT untuk memastikan kursus yang disediakan sentiasa relevan dengan kehendak pasaran semasa.

“Ia sekali gus dapat meningkatk­an variasi kemahiran yang dimiliki veteran ATM dalam memperoleh kerjaya kedua di samping memberi lebih banyak pilihan kemahiran dan persijilan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesye­n PERHEBAT Ke-44 di Kompleks PERHEBAT, Kem Sungai Buloh di sini, semalam.

Mohd Johari berkata, penambahan kursus itu menjadikan jumlah keseluruha­n kursus adalah 60 berbanding 35 sebelum ini.

Kursus tempatan

“Kebanyakan kursus yang ditambah ini adalah kursus tempatan yang PERHEBAT sediakan sendiri dan mendapat pengiktira­fan sepenuhnya daripada industri,” katanya.

Mohd Johari berkata, PERHEBAT sudah berjaya melatih 209,706 veteran ATM dalam pelbagai industri sejak tahun 1994 sehingga 2015.

Terdahulu, seramai 600 graduan terdiri daripada bakal pesara ATM menerima diploma dan sijil kemahiran masing-masing selepas menamatkan pengajian selama tiga hingga lapan bulan di PERHEBAT.

Mereka mengikuti latihan peralihan dalam tujuh bidang utama iaitu Kejurutera­an Automotif, Binaan dan Kejurutera­an, Kejurutera­an Elektrik dan Elektronik, Media dan ICT, Pelanconga­n dan Perhotelan, Penyediaan Makanan dan Sajian serta Pengajian Pengurusan.

Dalam perkembang­an lain, Mohd Johari berkata pihaknya akan mengadakan Konvensyen Usahawan Veteran ATM pada 16 dan 17 Ogos depan untuk memperkasa usahawan veteran ATM.

“Konvensyen yang pertama kali diadakan itu bakal menghimpun­kan 3,000 veteran ATM dan menampilka­n enam pakar industri serta akademik,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia