Berita Harian

6,600 pembeli nikmati manfaat Mydeposit

425 pemohon terima 10 peratus harga rumah sehingga 5 Jun lalu

- Oleh Zanariah Abd Mutalib

Sekurang-kurangnya 6,600 pembeli rumah pertama dalam kumpulan M40 akan menikmati manfaat daripada dana RM200 juta di bawah Skim Pembiayaan Rumah Pertama (Mydeposit) yang akan diagihkan sepenuhnya pada tahun ini bagi pembayaran deposit rumah.

Menteri Kesejahter­aan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata sehingga 5 Jun lalu, 425 pemohon yang layak menikmati insentif itu akan menerima sumbangan 10 peratus daripada harga rumah atau sehingga RM30,000 maksimum, mengikut mana yang terendah, bagi pembelian rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

“Seramai 6,600 hingga 10,000 pembeli rumah pertama akan menerima faedah skim ini melalui anggaran pembiayaan deposit antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi setiap pemohon.

Terbuka di seluruh negara

“Pembelian terbuka kepada rumah baharu dan rumah sekunder di seluruh negara, namun tidak termasuk program perumahan yang sudah mendapat dana, insentif atau subsidi kerajaan seperti Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Rumah Mampu Milik Kerajaan Negeri.

“Kita lakukan tapisan yang teliti bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menikmati manfaat skim ini dan melakukan beberapa peringkat semakan, termasuk melalui laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi semakan pemilikan rumah pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Skim Mydeposit di sini, semalam. Yang turut hadir, timbalanny­a, Datuk Halimah Sadique.

Seramai 40 orang menerima surat tawaran skim berkenaan dengan nilai peruntukan berjumlah lebih RM1 juta.

Mydeposit diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentang­an Bajet 2016 tahun lalu dan dilancarka­n pada 6 April lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia