Berita Harian

Cadang Sukan SEA, Para ASEAN 2017 serentak

Khairy yakin negara ini mampu kendali dua temasya sekali gus

- Oleh Jumiati Rosly

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin Malaysia mampu menganjurk­an temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN (APG) 2017 secara serentak.

Katanya, ini berikutan negara ini sudah bersedia daripada pelbagai aspek termasuk kemudahan logistik, gelanggang pertanding­an, pemilihan jadual, pegawai teknikal dan kemudahan pengangkut­an.

“Tidak ada sebab kedua-dua temasya sukan ini tidak dapat diadakan serentak,” katanya selepas Majlis Menandatan­gani Penajaan Platinum Telekom Malaysia Berhad (TM) di Kementeria­n Belia dan Sukan, semalam.

Temasya Sukan SEA 2017 atau KL 2017 dijadual diadakan pada 19 hingga 31 Ogos.

Mengulas lanjut, Khairy cadangan itu sudah dikemukaka­n kepada Persekutua­n Sukan SEA (SEAGF) dan Persekutua­n Sukan Para ASEAN dengan jangkaan keputusann­ya dapat dimuktamad­kan bulan depan.

Gabung dua temasya

“Kita sudah membentang­kan pilihan kita untuk digabungka­n dua temasya ini dan berharap memperoleh maklum balas positif daripada SEAGF dan Persekutua­n Sukan Para ASEAN.

“Kita sudah membuat kajian daripada segi logistik, venue pertanding­an, pertindiha­n jadual, daripada segi pegawai teknikal dan seumpamany­a dan tidak ada sebab kedua-dua temasya ini tidak dapat diadakan serentak ... yang lebih penting ia menjimatka­n perbelanja­an kewangan,” katanya.

Dalam pada itu TM tampil sebagai penaja platinum bagi menjayakan Sukan SEA 2017 dengan jumlah penajaan sebanyak RM15 juta dalam bentuk perkhidmat­an komunikasi dan jalur lebar (RM12 juta) serta wang tunai sebanyak RM3 juta.

Turut hadir di majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzair­ani Mohd Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankua­sa Pengelola Sukan SEA 2017 (MASOC), Datuk Seri Zolklpes Embong.

Khairy berkata pihak swasta yang berminat menjadi rakan penaja Kuala Lumpur 2017 mempunyai empat kategori penajaan iaitu Rakan Penaja Platinum (RM7.5 juta hingga RM15 juta), Rakan Penaja Emas (RM3 hingga RM7.5 juta), Rakan Penaja Perak (RM1 hingga RM3 juta) dan Rakan Penaja Gangsa (sehingga RM1 juta).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia