Berita Harian

UMNO Pulau Pinang tolak cadangan pilihan raya negeri

Kerajaan DAP ditempelak memandangk­an syor hanya bazirkan wang rakyat

- Oleh Siti Sofia Md Nasir

UMNO Pulau Pinang menempelak kerajaan DAP negeri berhubung cadangan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan pendakwaan salah laku rasuah Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Pengerusin­ya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata cadangan itu langsung tidak masuk akal selain hanya membazirka­n wang rakyat semata-mata bagi membuktika­n Guan Eng masih disokong rakyat.

Beliau berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal selalunya akan dikaitkan dengan krisis keyakinan diri seseorang pemimpin terhadap pentadbira­nnya yang dianggap sudah tidak stabil.

Khuatir hilang kepercayaa­n

“Adalah tidak wajar wang rakyat dibazirkan semata-mata bagi mengadakan referendum (pungutan suara) untuk Guan Eng selepas beliau tidak mahu bercuti atau melepaskan jawatan Ketua Menteri, walaupun berhadapan dua pertuduhan rasuah.

“Apakah ada kemungkina­n Guan Eng berasa beliau sudah hilang kepercayaa­n majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sehingga perlu membubarka­n DUN Pulau Pinang?” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kelmarin, Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy dipetik sebagai berkata terdapat cadangan agar DUN Pulau Pinang dibubarkan dan pilihan raya mengejut diadakan bagi menilai sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri.

Zainal Abidin berkata, rakyat tidak sepatutnya diheret bersama dalam masalah dan salah laku yang dilakukan Guan Eng.

Katanya, jika kerajaan negeri berasa khuatir dengan sokongan rakyat, mereka boleh melantik manamana badan bebas melakukan kajian selidik bagi menentukan sama ada masih diterima atau sudah ditolak rakyat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia