Berita Harian

Konvoi raya berdarah

3 beranak maut kenderaan pacuan empat roda rempuh kereta

- Oleh Ahmad Ismail

Tiga beranak maut dan tiga lagi parah selepas kereta yang mereka naiki dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 2.5 Jalan Muar-labis malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu, Mohd Rezal Abdul Karim, 37, dan isterinya, Rozaimah Mahmod @ Mahmud, 41, maut di tempat kejadian, manakala anak mereka, Nuralisa Yasmin, 11, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Segamat pada jam 4 pagi semalam.

Tiga lagi anak pasangan itu, Muhammad Aniq Aiman, 16, Muhammad Haziq Iqbal, 13, dan Nurdurrah Khadeeja,1, parah, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit, Ezam Abu, 55, hanya cedera ringan.

3 lagi anak mangsa parah

Anak bongsu pasangan itu, Nurdurrah Khadeeja, kini dilaporkan kritikal dan mendapat rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, manakala anak sulung, Muhammad Aniq Aiman, patah kaki dan anak kedua, Muhammad Haziq Iqbal dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Kakak Mohd Rezal, Mazura Marjikon, 42, berkata adiknya yang bekerja sebagai pemandu lori simen dan keluargany­a dalam perjalanan beraya ke rumah rakan mereka dengan berkonvoi bersama tiga lagi kenderaan.

Katanya, kali terakhir beliau berjumpa keluarga itu ketika mereka beraya ke rumahnya di Kampung Mensudut Pindah, dekat sini, sehari sebelum kejadian dan ketika itu beliau hairan melihat keluarga adiknya tidak berpakaian warna sedondon seperti kebiasaan mereka menyambut Aidilfitri.

“Setiap tahun, keluarga adik saya ini memakai baju warna sedondon tetapi tahun ini arwah memberi kebebasan kepada keluargany­a memilih warna sendiri,” katanya.

Mazura berkata, dalam pertemuan itu juga, Mohd Rezal menyatakan perasaan teruja untuk berpindah ke rumah sendiri di Buloh Kasap dan hanya menunggu kunci rumah diserahkan kerana sebelum ini mereka tinggal menyewa di Taman Suria, dekat sini.

Katanya, keluargany­a akan berbincang untuk bersama-sama menjaga tiga anak arwah yang dirawat di hospital.

Kebumi satu liang

Jenazah tiga beranak itu dikebumika­n dalam satu liang di Tanah Wakaf Perkuburan di Kampung Mensudut Pindah, pada kira-kira jam 3 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superinten­dan Mohd Kamil Sukarmi, berkata pemandu kenderaan pacuan empat roda yang cedera ringan di tangan kiri, ditahan reman bagi membolehka­n siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabka­n kematian.

Katanya, siasatan awal mendapati Mitsubishi Triton itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentang­an dan bertembung dengan PROTON Saga dinaiki enam sekeluarga terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia