Berita Harian

Tapir 300kg mati kena langgar

-

Kuantan: Seekor tapir jantan seberat 300 kilogram mati dilanggar kereta ketika haiwan itu melintas jalan di Kilometer 25 Jalan Kuantan-gambang dekat Kampung Seri Fajar, di sini, awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perlindung­an Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Datuk Khairiah Mohd Shariff, berkata pihaknya menerima aduan daripada pengguna jalan raya mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 3 pagi.

Katanya, pemeriksaa­n dijalankan kakitangan PERHILITIA­N mendapati seekor tapir jantan berumur antara enam hingga tujuh tahun mati selepas mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan badan.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika haiwan itu cuba melintas jalan untuk mencari makan di kawasan Kampung Seri Fajar, dekat sini.

Keadaan gelap

“Keadaan di situ yang gelap menyebabka­n kenderaan yang melanggar tapir itu tidak sempat mengelak apabila haiwan itu menyeberan­gi jalan berkenaan.

“Ini kejadian pertama membabitka­n tapir mati dilanggar di kawasan berkenaan dan sebelum ini, kita tidak mempunyai rekod kehadiran haiwan itu di tempat terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khairiah berkata, kejadian itu adalah kali kedua berlaku tahun ini dengan kejadian pertama dilaporkan di Jalan Pintasan Kuantan-pelabuhan awal tahun ini.

Katanya, tahun lalu, pihaknya merekodkan dua kes tapir dilanggar manakala tahun 2014 pula, empat kes dilaporkan.

“Kita akan bina lebih banyak papan tanda amaran di kawasan yang sudah dikenal pasti menjadi laluan haiwan ini bagi mengelak insiden sama berulang.

“Saya turut minta kerjasama pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati kerana haiwan seperti tapir suka keluar mencari makan pada waktu malam dan kemalangan boleh berlaku jika kenderaan gagal mengelak ketika haiwan ini sedang melintas jalan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia