Berita Harian

Spa penjara dapat sambutan

Banduan wanita sedia perkhidmat­an kecantikan untuk orang awam

- Oleh Norhafzan Jaafar

Tidak ramai tahu di sebalik tembok Penjara Wanita Kajang, ada perkhidmat­an spa dan salun kecantikan yang dibuka kepada orang ramai, sejak penghujung 2008 dengan menawarkan harga serendah RM5.

Perkhidmat­an spa yang sama seperti ditawarkan di mana-mana pusat kecantikan seumpamany­a di luar itu, dikendalik­an oleh tahanan wanita yang menjalani hukuman singkat dan tidak berisiko.

Antara khidmat yang ada di sini, termasuk mengguntin­g dan mencuci rambut, selain pelbagai rawatan rambut meliputi mewarna serta kerinting rambut dengan caj bermula dari RM5 hingga RM150.

Turut ditawarkan adalah mandian susu, rempah dan bunga; urutan badan; refleksolo­gi kaki; rawatan muka dan lulur serta sauna dengan pakej yang amat berpatutan bermula dari RM100 hingga RM200.

Malah, spa berkenaan mendapat kepercayaa­n orang ramai apabila ada dalam kalangan mereka menjadi pelanggan tetap untuk mendapatka­n perkhidmat­an yang ditawarkan.

Selain menjanjika­n keselesaan, harganya yang jauh lebih rendah dari spa dan salun di luar menjadi antara sebab pusat kecantikan ini sentiasa mendapat perhatian dan kunjungan bukan sahaja dalam kalangan kakitangan­nya sendiri, tetapi masyarakat awam yang lain.

Diberi latihan

Penyelia spa dan salun di Penjara Wanita Kajang, Sarjan Khalipah Ab Jalil, 56, berkata banduan yang bekerja di situ diberikan latihan khusus dalam bidang berkaitan.

Katanya, ia adalah selaras dengan matlamat program pemulihan yang menyediaka­n pelbagai kemahiran hidup kepada banduan sebagai persiapan kepada mereka untuk menceburi bidang kerja berkaitan apabila dibebaskan kelak.

“Malah bagi banduan yang pernah memiliki pengalaman bekerja dalam bidang ini diambil terus bekerja memandangk­an mereka sudah ada kemahiran yang boleh diketengah­kan.

“Selain itu, mereka juga dapat membantu dengan memberi tunjuk ajar kepada banduan lain yang masih baharu serta tidak memiliki sebarang kemahiran,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, hanya banduan yang sedang menjalani tempoh hukuman singkat dan tidak mendatangk­an risiko dipilih bekerja di spa berkenaan yang terletak di luar penjara, sebagai jaminan keselamata­n kepada orang awam yang mendapatka­n khidmat terbabit.

“Setiap tahanan dikawal rapi oleh wadar sepanjang tempoh bersama pelanggan bagi mengelak sebarang kemungkina­n yang tidak diingini,” katanya.

Sambutan menggalakk­an

Khalipah berkata, sambutan yang diterima daripada orang ramai cukup menggalakk­an terutama pada hujung minggu sehingga memerlukan pelanggan membuat temu janji sebelum mendapatka­n khidmat yang diinginkan.

Malah katanya, sambutan adalah di luar jangkaan, terutama menjelang sambutan Aidilfitri yang lalu terutama bagi khidmat mengguntin­g rambut dan mengurut.

Berdasarka­n pada maklum balas orang ramai, mereka berpuas hati dengan perkhidmat­an diberikan dan sesetengah­nya menjadi pelanggan tetap di situ.

Pada awal pembukaann­ya, spa dan salun berkenaan hanya beroperasi di dalam penjara yang memberi khidmat bukan sahaja kepada penghuniny­a tetapi juga kakitangan penjara.

Bagaimanap­un, atas permintaan orang awam, program terbabit dibawa keluar dari tembok penjara khusus kepada orang ramai yang berminat.

Program berkenan juga diharapkan mampu mengubah tanggapan masyarakat umum kepada banduan terutama apabila mereka dibebaskan kelak selain memudahkan mereka untuk diterima semula selepas menjalani hukuman di penjara.

Setiap banduan yang ditempatka­n di spa berkenaan mendapat bayaran sejumlah kecil elaun, manakala pendapatan hasil perniagaan yang lain disalurkan untuk membantu program pemulihan lain di penjara.

 ?? [FOTO ADI SAFRI/BH] ?? Caj perkhidmat­an rawatan badan dan muka di spa Penjara Wanita Kajang pada harga berpatutan.
[FOTO ADI SAFRI/BH] Caj perkhidmat­an rawatan badan dan muka di spa Penjara Wanita Kajang pada harga berpatutan.
 ??  ??
 ??  ?? Banduan Penjara Wanita Kajang diberi latihan sehingga mampu memberi perkhidmat­an salun setanding di luar.
Banduan Penjara Wanita Kajang diberi latihan sehingga mampu memberi perkhidmat­an salun setanding di luar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia