Berita Harian

Tuah buat ‘Generasi Griezmann’ kecewa

-

Paris: Meskipun disebut-sebut bakal mengulangi kejuaraan Perancis di Euro 1984 dan juga Piala Dunia 1998, ‘Generasi Griezmann’ bagaimanap­un berdepan kekecewaan apabila tewas di pentas final Euro 2016 di tangan Portugal dan pasukan perlu pantas bangkit memperbaik­i kelemahan.

Selepas menyingkir­kan juara dunia Jerman di separuh akhir, pentas seterusnya bagai sudah ditetapkan buat Antoine Griezmann dan juga rakan pasukan bagi membantu Perancis menjuarai kejohanan ketiga di halaman sendiri.

Namun, tatkala lawan kehilangan Cristiano Ronaldo di babak pertama kerana kecederaan lutut, Portugal tetap berdepan tuah apabila menang dengan keputusan 1-0, berterima kasih kepada jaringan Eder pada masa tambahan di Stade de France.

“Skuad ini mempunyai masa depan yang besar, kami seharusnya menjuarai Euro tetapi ia tidak berhasil,” kata Griezmann yang muncul selaku penjaring terbanyak dengan enam gol.

“Kami sangat sedih, sedikit terganggu tetapi itulah bola sepak. Kadangkala ia berhasil kadangkala tidak. Kami perlu bangkit dengan lebih kuat dan bersedia untuk kelayakan Piala Dunia.”

Biarpun kekalahan Perancis itu memusnahka­n harapan negara itu, ia setidak-tidaknya lebih baik kerana tidak dicemarkan dengan kontrovers­i pemain seperti dialami pada kejohanan sebelum ini.

Tanda protes

Perancis pernah melakukan bantahan pada Piala Dunia 2010 sebagai tanda protes terhadap penyingkir­an penyerang Nicolas Anelka kerana menghina jurulatih Raymond Domenech selain beberapa pemain turut dihukum kerana berkelakua­n buruk pada Euro 2012.

Namun Deschamps, yang menggantik­an Laurent Black pada 2012, sudah berjaya memperbaik­i imej pasukan dan berjaya mengatasi defisit 2-0 bagi menewaskan Ukraine dalam kelayakan plafoff menjelang Piala Dunia 2014.

“Kamu pasti merasai kekesalan apabila tewas di final tetapi dalam masa sama masih ada perasaan bangga,” kata pemain tengah Blaise Matuidi.

“Adalah sesuatu yang bagus apabila dapat menyatukan rakyat Perancis, untuk menyaksika­n kemeriahan di sekeliling pasukan, menikmati dan merasai kegembiraa­n peminat bola sepak.”

 ??  ?? Griezmann (kiri) ketika diasak Adrien Silva.
Griezmann (kiri) ketika diasak Adrien Silva.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia