Berita Harian

Misteri kematian tiga beranak

Suri rumah mati tergantung, 2 anak dipercayai diracun

-

Oleh Hardi Effendi Yaacob, Mohd Roji Kawi,

Rudi Affendi Khalik dan Zamil Sulaiman

Kematian tragik seorang suri rumah yang ditemui tergantung bersama dua anaknya yang disyaki diracun di sebuah rumah di Kampung Baru, Kota Samarahan, malam kelmarin disiasat sebagai kes bunuh.

Rohana Mohamad, 37, ditemui mati tergantung dalam tandas rumah tidak bernombor milik ibu bapa angkatnya kira-kira jam 8 malam, manakala anak lelakinya, Adam Hadiman Noorahman, 7, dan Mohd Ikmal Danish, 4, pula ditemui dalam bilik tidur dengan keadaan muka dan bibir kehitaman, dipercayai diracun.

Pintu tidak berkunci

Difahamkan, ibu bapa angkat Rohana berada di kebun sawit mereka ketika kejadian dan polis yang masuk ke rumah itu melalui satu pintu tidak berkunci turut menemui botol cecair peluntur di sisi mayat dua beradik berkenaan yang mungkin digunakan untuk meracun kedua-dua mangsa.

Rohana dikatakan dalam proses perceraian dengan suami selepas tinggal berasingan sejak tujuh bulan lalu bersama Adam Hadiman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Ikhmal pula meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan.

Polis menyiasat kematian tiga beranak itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas pada mulanya diklasifik­asi sebagai mati mengejut.

Pemeriksaa­n BH menemui laman sosial Facebook dipercayai milik Rohana dengan status kemas kini terakhir pada Ahad lalu dengan gambarnya bersama dua anak lelaki. Wanita itu memohon maaf kepada keluarga, sanak saudara dan rakannya sempena Aidilfitri, selain meminta dihalalkan makan minumnya serta anak.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar dalam satu kenyataan, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dengan mengambil kira kemungkina­n wujud unsur jenayah dan kini menunggu hasil laporan bedah siasat mangsa.

“Masih terlalu awal untuk mengenalpa­sti punca sebenar kejadian dan siasatan menyeluruh mengambil kira semua kemungkina­n. Kita sedang meneliti laporan bedah siasat bagi mengenalpa­sti punca kematian, keterangan ahli keluarga dan jiran mangsa juga sudah direkodkan bagi membantu siasatan,” katanya.

Keadaan mencurigak­an

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superinten­dan Lee Chong Chern, berkata pihaknya dimaklumka­n mengenai kejadian itu pada jam 7.55 malam oleh seorang anggota keluarga mangsa yang curiga dengan keadaan rumah Rohana yang gelap dan sunyi.

“Polis masuk ke rumah melalui pintu bahagian atas yang tidak berkunci, menemui dua kanak-kanak di bilik tidur dengan muka pucat dan mulut kehitaman. Pemeriksaa­n lanjut menemui seorang wanita tergantung dalam tandas rumah berkenaan, selain botol cecair peluntur,” katanya.

 ??  ?? Rumah mangsa di Kampung Baru Samarahan.
Rumah mangsa di Kampung Baru Samarahan.
 ?? [FOTO NADIM BOKHARI/BH] ?? Keadaan bilik mangsa di Kampung Baru Samarahan.
[FOTO NADIM BOKHARI/BH] Keadaan bilik mangsa di Kampung Baru Samarahan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia