Berita Harian

Kes tembak ibu, anak di Taman OUG selesai

-

Kuala Lumpur: Polis menahan lapan orang termasuk dua wanita yang disyaki terbabit dalam pembunuhan seorang ejen hartanah di Jalan Hujan Emas 4, Taman OUG di sini, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata polis turut merampas sepucuk pistol dipercayai digunakan dalam kes itu yang turut menyebabka­n anak perempuan mangsa parah.

“Berdasarka­n hasil risikan dan maklumat awam, polis menahan lapan individu berusia antara 20 hingga 50-an dalam beberapa siri serbuan di sekitar ibu negara dan Perak semalam (kelmarin).

“Dengan penahanan semua suspek, polis percaya kes ini selesai. Polis sedang melengkapk­an kertas siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan pendakwaan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, semalam.

Tembak dari jarak dekat

Dalam kejadian jam 2 petang pada 6 Julai lalu, wanita berusia 32 tahun itu maut di tempat kejadian, manakala anaknya berusia lapan tahun parah selepas Toyota Vellfire yang mereka naiki ditembak dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Ketika kejadian mangsa sedang memandu bersama lima orang anaknya yang berusia antara dua tahun hingga 13 tahun serta seorang pembantu rumah.

Suspek melepaskan lima das tembakan dari jarak dekat di cermin tingkap sebelah pemandu dan satu daripada tembakan itu mengenai leher mangsa.

Reman enam hari

Noor Rashid berkata, semua suspek direman semalam enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, kejayaan polis menahan suspek turut dikongsi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitter rasminya, semalam.

“Syabas Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur berjaya menyelesai­kan kes tembak wanita dan anak di Taman OUG,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia