Berita Harian

Selangor kecewa saat akhir

Kelantan bawa pulang satumata di Stadium Shah Alam

- Oleh Syafiq Aznan

‘Drama minit akhir’ menghiasi aksi Selangor dan Kelantan selepas jaringan minit akhir Abdul Manaf Mamat berjaya membantu skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bangkit mengikat kedudukan 3-3 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Keputusan seri itu menyaksika­n kedua-dua pasukan menghimpun empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri tetapi Kelantan berada di kedudukan teratas atas perbezaan jaringan dalam saingan Kumpulan B.

Walaupun pelawat menguasai 20 minit awal permainan, Selangor terlebih dahulu memecah kebuntuan selepas Mauro Olivi menyambar bola muntah yang ditepis Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-29.

Stadium Shah Alam sekali lagi bergegar dengan sorakan penyokong Selangor apabila hantaran lintang Raimi Md Nor yang disudahkan penyerang Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh menewaskan Khairul Fahmi sekali lagi untuk Selangor terus selesa mendahului 2-0 dengan baki enam minit separuh masa pertama.

Pegang bola lama

Begitupun, kesilapan Noorazlan Razali yang memegang bola terlalu lama dalam kotak penalti mengundang padah apabila Kelantan dihadiahka­n sepakan percuma di penghujung babak pertama dan disempurna­kan dengan rembatan Wander Luiz yang melepasi benteng Selangor sekali gus membolehka­n Kelantan mengurangk­an defisit kepada 2-1.

Belum sempat pemain memanaskan badan selepas babak kedua bersambung, Selangor kembali berkelebih­an dua gol apabila S Veenod berjaya memintas bola di kawasan tengah padang dan membuat hantaran kepada Patrick yang sekali lagi mudah menewaskan Khairul Fahmi untuk gol kedua peribadiny­a pada minit ke-48.

Kelantan yang bermain di bawah tekanan enggan berputus asa dan terus memburu gol dan selepas beberapa percubaan, jaringan cantik Wan Zack Haikal pada minit ke-72 membolehka­n skuad Velizar Popov merapatkan jurang kepada 3-2.

Ketika Selangor dilihat mengutip tiga mata di laman sendiri, Abdul Manaf muncul pemusnah dengan jaringan pada minit kelima masa tambahan sekali gus membolehka­n kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia