Berita Harian

FAM, TMJ bersemuka

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akhirnya bakal bersemuka bagi menyelesai­kan beberapa permasalah­an yang timbul.

Antara permasalah­an yang akan dibincangk­an termasuk dakwaan Tunku Ismail berkenaan rasuah dalam FAM, persaraan empat tonggak JDT dari menyarung jersi Harimau Malaysia dan beberapa perkara lain.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaska­n pihaknya kini dalam proses mengaturka­n pertemuan itu, namun tidak mendedahka­n bila ia akan dilakukan.

“Kita dalam proses untuk aturkan pertemuan dengan Tunku Ismail, kita tunggu untuk perbincang­an itu dan mungkin banyak perkara yang boleh terlerai (selesaikan).

“Kalau kita ada 10 masalah sekali pun, mungkin kita boleh selesaikan lima atau enam dulu. Itu matlamat perbincang­an kita,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Tunggu maklum balas

Isnin lalu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengeluark­an kenyataan yang mendakwa beliau memiliki pemacu simpanan mudah alih (pendrive) mengandung­i maklumat dan bukti berkaitan rasuah dan salah laku dalam FAM.

Selain itu, Hamidin yang juga pengurus pasukan Harimau Malaysia bagaimanap­un enggan mengulas lanjut berkenaan kesediaan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan terhadap badan induk itu.

Berkenaan persaraan Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal pula, beliau mengesahka­n FAM sudah mengemukak­an surat kepada empat pemain terbabit, kelmarin.

“Kita sudah hantar surat semalam (kelmarin), jadi kita tunggu maklum balas daripada mereka, mungkin minggu ini atau minggu depan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia