Berita Harian

Dapat pengalaman, tambah pendapatan

Berniaga pada Ramadan lalu beri inspirasi untuk teruskan perniagaan

-

Meneruskan tradisi keluarga dalam dunia perniagaan, selain ingin belajar sendiri erti kesusahan mengecapi hidup senang membuatkan ramai golongan muda kini menjadikan perniagaan sebagai kerjaya.

Pada Ramadan lalu, golongan muda mengambil peluang ini untuk mendapatka­n duit lebih dan sudah tentu Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) menjadi lubuk kepada mereka mencari pendapatan tambahan.

Sesetengah­nya pula menjadikan ia sebagai peluang menambah pengalaman atau mengumpulk­an modal untuk meneruskan perniagaan sedia ada, iaitu tidak terhenti pada musim Ramadan semata-mata.

Siti Noorikha Mahbob, 32, antara yang menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan utamanya sejak remaja lagi.

Dia yang menjual biskut di Jalan TAR berkata, dunia perniagaan bukan lagi asing kerana ahli keluargany­a sudah terbabit dalam perniagaan berasaskan makanan, manakala berniaga sempena Ramadan, baru-baru ini menjadi satu kemestian.

Buat biskut sendiri

Kali ini mencuba berniaga sendiri hasil produk biskut buatannya kerana ingin menimba ilmu dan kemahiran perniagaan yang selama ini diajar oleh ibu bapanya.

“Saya memang asal daripada keluarga peniaga, sudah biasa dengan perkara sebegini.

“Dari kecil lagi, saya dapat melihat, jika ingin mendapat keuntungan perlu berusaha keras, kerana kita berniaga sendiri, periuk nasi sendiri.

“Kali ini saya nekad buat sendiri biskut dengan bantuan adik-beradik dan sewa gerai sendiri. Sebelum ini tumpang gerai ayah, ini kali pertama berdikari.

“Mula-mula buka memang takut sebab tidak tahu lagi sokongan orang ramai macam mana tetapi semakin ramai yang beli biskut saya. Paling penting kena selalu yakin dan usaha,” katanya.

Siti Noorikha berkata, walaupun mempunyai segulung ijazah, dia tidak kisah berpanas dan hujan untuk berniaga di tepi jalan kerana paling penting dapat meneruskan kesinambun­gan perniagaan keluarga.

Ambil cuti untuk berniaga

Bagi Zarul Azham Jaafar, 28, pula menyatakan ini adalah aktiviti mereka untuk berniaga di bazar Ramadan Jalan TAR, baru-baru ini memberikan kesedaran betapa peritnya dunia perniagaan di kawasan terbuka.

Bagaimanap­un, dia yang mempunyai pekerjaan lain berkata, tidak kisah mengambil risiko bercuti sebulan dan berniaga air di Jalan TAR.

“Walaupun hanya menjual air, tetapi saya boleh cakap ia melebihi gaji biasa pekerjaan. Selalunya saya akan bermula pada jam 2 petang hingga ke dinihari kerana Jalan TAR memang sentiasa ramai pada musim perayaan.

“Memang penat kerana berpanas, berhujan siang malam, tetapi ia berbaloi. Saya gembira kerana untung rugi perniagaan saya yang tentukan sendiri.

“Duit tunai masuk setiap hari dan kita boleh nampak perjalanan perniagaan melalui keuntungan yang kami dapat. Dari situ, kita boleh terus mencongak sama ada untuk mengambil stok baharu atau melihat jika ada kerugian dan sebagainya,” katanya.

Perkara yang agak memenatkan apabila terpaksa berniaga sebegini adalah ketika membuka dan menutup gerai jualan kerana terpaksa menggunaka­n kudrat sepenuhnya.

Malah hampir setiap tahun Zarul terpaksa mengorbank­an suasana gembira bersama keluarga pada hari raya pertama kerana kesibukann­ya berniaga.

“Selalunya dalam raya kedua atau ketiga, baru saya balik kampung, walaupun lambat, tetapi tetap kena balik kerana hari raya adalah hari untuk bersama keluarga.

“Segala kepenatan terasa hilang apabila dapat berjumpa dengan ahli keluarga. Inilah cabaran yang perlu saya hadapi dalam mencari rezeki. Bagi saya, semua ini adalah pengalaman yang menyeronok­kan,” katanya.

Kumpul belanja lanjut pelajaran

Areena Hasreena Nor Kamal, 20, mengambil peluang bekerja di salah sebuah gerai menjual pakaian di Jalan TAR bagi mengumpul duit untuk menyambung pelajarann­ya di luar negara.

Bakal pelajar jurusan Kesusaster­aan Bahasa Inggeris ini berkata, gerai jualan pakaian itu adalah milik bapa saudaranya dan kebetulan dia memerlukan pekerja untuk jualan sepanjang Ramadan baru-baru ini.

“Daripada saya tidak buat apa di rumah, lebih baik bekerja, dapatlah juga mengumpul sedikit duit bagi menampung kos pelajaran saya.

“Ini kali pertama saya bekerja di sini, memang tidak dinafikan penat kerana mula awal petang sehingga Subuh, puasa pula tetapi ia menyeronok­kan.

“Dapat jumpa dengan pelanggan yang pelbagai ragam. Saya memang jenis yang peramah, sebab itu saya suka berniaga sebegini,” katanya yang tidak segan untuk menggayaka­n baju kurung yang dijual, selain mampu memberi pendapat baju sesuai untuk dipakai.

 ??  ?? Siti Noorikha di gerainya di Jalan TAR.
Siti Noorikha di gerainya di Jalan TAR.
 ??  ??
 ??  ?? Zarul sedang melayan pelangg
Zarul sedang melayan pelangg
 ?? [ FOTO SAIFULLIZA­N TAMADI / BH ] ?? Areena Hasreena menyusun kain tudung untuk dijual kepada pengunjung Jalan TAR.
[ FOTO SAIFULLIZA­N TAMADI / BH ] Areena Hasreena menyusun kain tudung untuk dijual kepada pengunjung Jalan TAR.
 ??  ?? gan.
gan.
 ??  ?? Siti Noorikha melayan pelanggan memilih biskut di gerainya.
Siti Noorikha melayan pelanggan memilih biskut di gerainya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia