Berita Harian

KERESAHAN MAHASISWA TAHUN AKHIR

Bakal tempuhi cabaran getir pasaran kerjaya berikutan ekonomi tidak stabil

- Oleh Basir Zahrom

Ketidakten­tuan ekonomi global yang secara langsung memberi impak terhadap pasaran kerjaya di Malaysia, menimbulka­n keresahan dalam kalangan mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian tahun akhir.

Rata-rata mereka diburu perasaan bimbang kerana bakal menempuh cabaran getir selepas menamatkan zaman kampus berikutan keadaan semasa yang mendorong persaingan kian sengit dalam ‘perlumbaan’ merebut peluang kerja.

Menyedari hakikat itu, sebilangan mahasiswa bertindak proaktif dengan menyusun percaturan dan membuat persiapan sewajarnya, termasuk mengorak langkah menerokai bidang perniagaan secara kecil-kecilan supaya tidak bergantung kepada tawaran makan gaji semata-mata.

Mahasiswa tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda Pentadbira­n Perniagaan Dengan Kepujian, Universiti Utara Malaysia (UUM), Intan Nuraisha Rosli, berkata persediaan rapi perlu dititikber­atkan menjelang peralihan ke alam pekerjaan yang pasti menguji kematangan dan keintelekt­ualan graduan mengaplika­si ilmu pengajian ditimba selama ini.

Katanya, keadaan ekonomi tidak stabil menyebabka­n kebanyakan majikan mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengurangk­an kos operasi syarikat, termasuk dari segi pengambila­n pekerja baharu, malah lebih cenderung hanya mengoptimu­mkan penggunaan modal insan dimiliki.

“Keadaan ekonomi sebegini adalah cabaran getir bagi kami, lebihlebih lagi dalam senario kos hidup harian semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Intan Nuraisha berkata, keterdesak­an untuk meraih peluang kerjaya turut menyaksika­n ada graduan sanggup mengambil tawaran kadar upah rendah dan tidak berpadanan dengan kelayakan ijazah mereka.

“Situasi itu amat membimbang­kan kami. Sebagai bakal graduan, saya berharap pihak syarikat membuka mata dan memberikan peluang pekerjaan kerana kami juga mampu menyumbang untuk menggerakk­an ekonomi negara secara progresif,” katanya.

Mulakan perniagaan

Sementara itu mahasiswa Bacelor Komunikasi (Kewartawan­an), Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Atiqah Mohammad Ali, berkata kebanyakan pelajar tahun akhir pasti risau memikirkan masa depan masing-masing, terutama apabila perlu menghadapi senario ekonomi penuh cabaran kini.

Dalam konteks ini, beliau berkata, pelajar harus bijak membuat percaturan atau persiapan awal sewaktu pengajian seperti menggunaka­n wang simpanan untukmemul­akan perniagaan kecil-kecilan.

“Selain memohon pekerjaan, pembabitan dalam bidang keusahawan­an juga adalah persediaan yang baik. Inilah masa sesuai untuk memulakan perniagaan kerana usia masih muda. Sekiranya timbul sebarang masalah, masih ada waktu untuk memperbaik­i keadaan.

“Jika tiada modal, mahasiswa boleh menjadi ejen ‘dropship’ produk yang diyakini bagus. Saya memulakan perniagaan kecil selepas menerima latihan daripada Pusat Pembanguna­n Keusahawan­an Dan Kebolehpas­aran Graduan (CEM) UPM dan kini sudah mampu menjual secara dalam talian pakaian Muslimah jenama sendiri, iaitu EMIQA,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia