Berita Harian

Pilihan raya mengejut taktik DAP raih simpati rakyat

-

Kuala Lumpur: Rancangan DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang hanya bertujuan menjadi ‘pelampung penyelamat’ Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang berdepan tuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim, berkata DAP dianggap mencemar sistem demokrasi jika mahu mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang kerana ia akan dijadikan referendum bagi meraih simpati dan sokongan rakyat kepada Setiausaha Agung parti itu.

Katanya, jika PRN diadakan sebelum perbicaraa­n kes Guan Eng di mahkamah, ia akan membolehka­n DAP memainkan sentimen dan emosi rakyat agar mempercaya­i Ketua Menteri Pulau Pinang itu kononnya menjadi mangsa politik.

Rakyat mangsa politik rakus DAP

“Dalam situasi ini, DAP tidak sepatutnya menjadikan rakyat Pulau Pinang sebagai mangsa politik rakus dengan memberi cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

“Jika DAP berani dan kuat di Pulau Pinang, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu perlu letak jawatan, tidak perlu mengheret kerusi dari parti lain sehingga mencadangk­an pembubaran DUN,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Seorang lagi Ahli MT, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata DAP terdesak kerana PRN itu adalah pelan penyelamat bagi membersihk­an imej Guan Eng yang terpalit dakwaan terbabit dalam penyelewen­gan dan rasuah.

Katanya, Guan Eng sepatutnya berundur secara terhormat daripada jawatannya dan tidak perlu bertanding dalam PRN kerana keputusan mahkamah nanti mungkin tidak berpihak kepadanya.

“Cadangan DAP mengadakan PRN Pulau Pinang adalah tindakan gelabah parti itu terhadap keputusan mahkamah yang bakal dihadapi Guan Eng,” katanya sambil menambah, PRN Pulau Pinang akan menyebabka­n rakyat menjadi mangsa permainan politik DAP dan menyelesai­kan masalah rasuah Guan Eng.

Jika PRN diadakan sebelum perbicaraa­n kes Guan Eng di mahkamah, ia membolehka­n DAP memainkan sentimen dan emosi rakyat agar percaya Ketua Menteri Pulau Pinang itu kononnya jadi mangsa politik” Irmohizam Ibrahim, Ahli Majlis Tertinggi UMNO

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia