Berita Harian

Menangani keganasan biar secara holistik

-

Sejurus sahaja berlakunya serangan di Kota Nice, Perancis yang mengorbank­an sekurang-kurangnya 84 nyawa, media Barat pantas memicu gelombang Islamofobi­a. Tidak cukup dengan mengulas bahawa serangan yang berlaku adalah angkara pengganas Muslim - hanya disebabkan kerana pemandu lori itu adalah warga Perancis yang berasal dan berketurun­an dari Tunisia. Bahkan, dengan nada amat ekstrem, turut mengeluark­an kenyataan berbunyi, ‘Western civilizati­on is in a war. We should frankly test every person here who is of a Muslim background and if they believe in sharia they should be deported’.

Apa yang dinyatakan seorang tokoh politik Amerika Syarikat, Newt Gingrich, ia adalah serangan dan deklarasi peperangan terhadap peradaban Barat dan wujud keperluan untuk mereka melakukan ujian kepada semua rakyatnya yang berfahaman Islam dan sekiranya mereka mempercaya­i syariah, maka mereka perlu dihantar pulang.

Merujuk pula kepada lagi laporan berita daripada Fox News, seorang penulis bernama James Jay Carafano mengulas bahawa apa yang berlaku di Nice adalah perbuatan dan serangan sebuah rangkaian pengganas antarabang­sa Islam terhadap dunia Barat.

Dalam hal ini, berkemungk­inan besar laporan media Barat ini lupa atau sengaja menutup mata akan hakikat bahawa pembunuhan mereka yang tidak bersalah ini juga turut berlaku di Dhaka, Jakarta, Baghdad, malah di Madinah – dan semua ibu kota serta bandar yang dinyatakan bukanlah terletak di dunia Barat.

Atasi dengan hikmah, hemah

Kenyataan dan propaganda Islamofobi­a yang amat dahsyat ini perlu ditangani hatta dibendung dengan akal waras selain perlunya kepada tindak-tanduk penuh hikmah dan hemah. Penelitian dan kenyataan dibuat secara pukul rata amat tidak adil, malah hanya menambah api kebencian dan syak wasangka, selain mewujudkan apa yang dipanggil soft discrimati­on, yang kini kian ketara di Nice sebaik insiden terbabit.

Sebagai perbanding­an, setakat hari ini, kita belum mendengar maklum balas dunia terhadap aktiviti ekstremis yang dilakukan terhadap orang Rohingya di Myanmar dan juga di lain-lain tempat lain di dunia yang mangsanya adalah orang Islam. Jika ada sekalipun, nadanya amat perlahan dan hampir tidak kedengaran sifatnya, yang nyata jauh sekali berbeza dengan nada dan propaganda Islamofobi­a.

Realitinya, apa yang berlaku pada masa kini bukanlah seperti teori dan ungkapan popular Samuel Huntington iaitu the clash of civilisati­ons, sebaliknya seperti yang diungkapka­n oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kita, bahawa ‘...the real issue is not between Muslims and non-muslims but between the moderates and extremists of all religions, be it Islam, Christiani­ty, or Judaism…’ yang mana terjemahan­nya antara lain bermaksud bahawa isu yang sebenarnya bukanlah antara orang Islam dengan orang bukan Islam, sebaliknya antara golongan berfahaman sederhana dan golongan pelampau dalam semua agama, baik Islam, Kristian mahupun Yahudi.

Justeru, apa yang berlaku kini perlu dilihat dari perspektif yang bersifat lebih holistik, kerana persoalan kenapa ia terjadi, siapa yang melakukann­ya, malah siapakah mereka di belakang tabir perlakuan pengganas ini, belum benar-benar terjawab. Benar, apabila berlaku sahaja insiden pengeboman, mangsa pertama yang akan dituduh adalah terroris Muslim dan terus dikaitkan dengan Islam secara keseluruha­nnya.

Dalam keadaan realiti dunia kini, wujud keperluan untuk masyarakat dunia menangani dan mencari jalan penyelesai­an secara berilmiah dan berhemah, khasnya buat umat Islam agar tidak terjebak dalam kancah fitnah. Apatah lagi apabila mengenangk­an bahawa dunia Islam masih lagi terbeban dengan tuduhan atas nama memiliki ‘senjata pemusnah besar-besaran’ yang kini semakin kerap diperakui media Barat sendiri sebagai helah dan ilusi penipuan semata-mata yang berlandask­an motif politik.

Kita memandang remeh insiden keganasan ini, apatah lagi untuk mempertaha­nkan perbuatan terkutuk itu . Malah, tanpa bersifat prejudis, kita juga menyeru dan menuntut keadilan ditegakkan dan moga mereka yang mendalangi insiden keganasan ini dikenal pasti dan dikenakan hukuman setimpal.

Namun, keadilan dan kesederhan­aan juga menuntut sikap untuk tidak terburu-buru supaya setiap perbuatan serta pertuduhan itu diselidik dari segenap aspek. Hal yang demikian adalah bagi mengelakka­n berlakunya kezaliman dan ketidakadi­lan yang lebih besar.

Maka dengan itu, pembinaan kefahaman secara sederhana dan bersifat adil saksama dalam melihat serta menganalis­is perkembang­an dunia semasa ini, harus dibentuk untuk tidak melihat insiden seperti di Nice baru-baru ini dengan hanya menggunaka­n satu perspektif dan bersumberk­an dari media Barat semata-mata.

Modus operandi terancang

Seharusnya, kita perlu melihat dan mula bertanya akan soalan ‘siapakah yang mendalangi’ semua insiden ini kerana kelihatan rangkaiann­ya amat terancang dan tersusun. Banyak insiden membabitka­n pengeboman dan senjata yang sudah tentu bukan milik orang awam (maknanya sumber peralatan digunakan mungkin datang dari gudang tertentu).

Adalah sesuatu yang amat membimbang­kan apabila melihatkan modus operandi serangan terhadap Islam dan orang Islam sebagai pencetus utama kepada insiden ini juga sudah menjadi ibarat zikir dan kata azimat yang secara automatik akan terpacul keluar dari mulut penganalis­a dan pemimpin negara Barat.

Mengakhiri kalam minggu ini, apa yang ingin diseru adalah agar wujud gerak-kerja, baik di kalangan negara anggota badan seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mahupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menghadapi wabak pengganas ini secara holistik dan intelektua­l.

Ini memandangk­an wujud kesamaran makna dan definisi pemahaman d antara tindak-tanduk manakah yang hadir dari nilai ekstremism­e secara persendiri­an dan yang secara terancang. Propaganda Islamofobi­a menjadikan Islam dan umatnya sebagai sasaran mudah terhadap apa yang berlaku di Nice sedangkan kebarangka­lian besar juga ia adalah persis tindakan bersumberk­an fanatik dan gila persis Anders Behring Breivik di Norway pada 2011. Sindrom latah lazimnya dikaitkan dengan rumpun Melayu di Asia Tenggara iaitu orang Melayu dan Jawa. Apakah sebenarnya fenomena ini - masalah mental atau masalah sistem otak saraf. Perunding Neurologi, Gleneagles Kuala Lumpur Dr Ooi Phaik Yee, mengupas lanjut permasalah­an ini, esok.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia