Berita Harian

Maut tertembak ketika bergaduh dengan isteri

Anggota polis ditemui terbaring dengan kesan tembakan di dada

- Oleh Suzianah Jiffar dan Nurul Amanina Suhaini

Anggota polis yang maut tertembak dalam pergaduhan dengan isterinya di Penampang, Sabah, semalam, dipercayai menghadapi masalah rumah tangga sejak kira-kira dua tahun lalu.

Kakak mangsa, Rahimah Meskam, 42, berkata adik bongsunya itu, Mohd Fazli Meskam, 31, pernah memaklumka­n isterinya mendapatka­n rawatan di sebuah hospital di Kota Kinabalu akibat tekanan perasaan.

Katanya, Allahyarha­m sekeluarga pulang ke kampung di FELDA Air Tawar 4, dekat sini, selama beberapa hari kira-kira dua minggu sebelum Aidilfitri.

“Kami rapat dan arwah sering meluahkan perasaan mengenai masalahnya bagi meminta pendapat saya.

“Dia berusaha menyelamat­kan rumah tangga dan amat menyayangi dua anak mereka yang berusia tiga dan lima tahun,” katanya kepada BH ketika ditemui di rumahnya di FELDA Air Tawar 4 di sini, semalam.

Rahimah berkata, ibunya, Mazenah Abu, 65, tidak berhenti menangis sebaik dimaklumka­n mengenai kejadian itu, manakala bapanya, Meskam Shawatt, 73, sukar bercakap kerana uzur.

Mohon berpindah ke Johor

Mohd Fazli bertugas di Sabah sejak 17 tahun lalu dan pernah memohon untuk berpindah ke Johor.

Rahimah mendakwa, pasangan itu turut bertengkar ketika pulang ke kampung pada bulan puasa lalu.

Jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabang­sa Senai kira-kira jam 5 petang ini sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan FELDA Air Tawar 4 untuk urusan pengebumia­n.

Mohd Fazli dilaporkan maut tertembak ketika bergelut dengan isterinya dalam pertengkar­an di rumah mereka di Cyber City Apartment di Penampang, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas tertembak di bahagian dada, manakala isterinya yang berusia 28 tahun tidak mengalami kecederaan.

Sebelum kejadian, pasangan suami isteri itu dikatakan bertengkar mengenai masalah keluarga sebelum membawa kepada pergelutan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman, berkata polis menerima panggilan daripada orang awam yang mendengar bunyi tembakan di tingkat dua apartmen berkenaan sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Kesan tembakan

“Sebaik tiba, pintu rumah terbuka dan mangsa ditemui terbaring di ruang tamu dengan satu kesan tembakan di dada. Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia ketika itu.

“Siasatan lanjut mendapati punca kejadian mungkin ada kaitan dengan masalah keluarga.

“Bagaimanap­un, kita akan menyiasat secara menyeluruh dan sudah menahan isteri mangsa untuk dirakam percakapan­nya.

“Kita turut menemui pistol jenis Steyr di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

 ?? [FOTO ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN/BH] ?? Ahli keluarga berkumpul di rumah ibu Mohd Fazly di FELDA Air Tawar 4, Kota Tinggi.
[FOTO ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN/BH] Ahli keluarga berkumpul di rumah ibu Mohd Fazly di FELDA Air Tawar 4, Kota Tinggi.
 ??  ?? Mohd Fazli Meskam
Mohd Fazli Meskam

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia