Berita Harian

IIUMC tingkat khidmat kesihatan umum

Tambah pusat rawatan milik kerajaan, swasta dengan kadar bayaran berpatutan

- Oleh Amin Ridzuan Ishak dan Nor Adibah Ahmad Zafri

Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (IIUMC) di sini, bakal meningkatk­an perkhidmat­an kesihatan umum dengan menawarkan kadar bayaran berpatutan kepada orang ramai.

IIUMC yang terletak di Bandar Indera Mahkota, dekat sini, akan menambah pusat rawatan milik kerajaan dan swasta di sekitar Kuantan, sekali gus meningkatk­an akses perkhidmat­an kesihatan kepada rakyat negeri ini serta Pantai Timur.

Ia dibina pada Julai 2012 di tapak seluas 11 hektar oleh Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) dan siap sepenuhnya Mei lalu. Pusat perubatan itu dijangka beroperasi secara berperingk­at mulai Isnin ini, iaitu menerusi pembukaan klinik dan seterusnya menerima kumpulan pertama pesakit Ogos ini.

Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata pihaknya tidak mahu pusat rawatan dibina dengan kos RM590 juta termasuk peralatan itu hanya dikunjungi golongan elit, sebaliknya turut meliputi golongan kurang berkemampu­an.

Skim mampu bayar

“Kalau boleh biarlah harga mampu dibayar dan berpatutan, sekarang ini trend hospital menaikkan bayaran. Pengurusan sini (IIUMC) harus mewujudkan skim mampu bayar kerana prinsip itu penting dalam memberikan perkhidmat­an kesihatan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran IIUMC yang disempurna­kan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah serta turut disertai Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Katanya, IIUMC akan menjadi pusat perubatan patuh syariah, menerapkan kaedah disarankan Islam dalam merawat pesakit termasuk latihan solat serta susunan katil menghadap kiblat dalam usaha memudahkan pesakit bersolat, selain menerapkan eleman beradab serta berbudi dalam melayan pesakit.

 ?? [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] ?? Sultan Ahmad Shah bersama Sultanah Kalsom, Adnan dan Rais (kiri) melihat mesin Somatam Definition AS untuk kegunaan CT Scan selepas merasmikan IIUMC di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, semalam.
[FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR/BH] Sultan Ahmad Shah bersama Sultanah Kalsom, Adnan dan Rais (kiri) melihat mesin Somatam Definition AS untuk kegunaan CT Scan selepas merasmikan IIUMC di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia