Berita Harian

Allardyce jadi pilihan Three Lions

-

London: Bos Sunderland, Sam Allardyce dijangka dilantik sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan England dalam tempoh 24 jam, lapor media di Britain, semalam.

Perkembang­an itu sekali gus menyaksika­n Allardyce akan membimbing The Three Lions yang kerap beraksi di bawah prestasi sebenar itu melangkah pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia.

Bekas pengurus Bolton, Newcastle dan West Ham berusia 61 tahun itu akan mengambil alih tugas daripada Roy Hodgson yang meletakkan jawatan selepas kekalahan memalukan England di peringkat 16 terakhir kepada Iceland di Euro 2016.

Persatuan Wartawan England berkata, Allardyce yang juga calon utama bagi jawatan terbabit akan dinamakan sebagai pengendali baharu ketika mesyuarat lembaga pengarah Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA), hari ini sekali gus muncul pengurus ke-15 England.

Pengurus jangka panjang

Selain Allardyce, bos Hull City, Steve Bruce turut ditemuduga FA manakala nama pengendali Bournemout­h, Eddie Howe dan jurulatih Amerika Syarikat, Jurgen Klinsmann juga disenarai pendek.

Sunderland sebelum ini menggesa pelantikan jurulatih baru England dilakukan dengan pantas supaya mereka boleh fokus mencari pengganti atau melakukan perancanga­n bagi menghadapi saingan musim depan yang dijadual bermula 13 Ogos ini.

Kelab itu dalam satu kenyataan, lewat semalam berkata situasi itu “mencetus kemarahan dan kekecewaan.”

“Kami memang sedar ketegangan spekulasi media pada petang ini, namun ketika ini Sam Allardyce masih pengurus Sunderland,” kata jurucakap kelab itu.

“Kami berkongsi kemarahan dan kekecewaan penyokong kami dan mahu memberi mereka jaminan yang kami mahu menyelesai­kan perkara ini yang memberikan kepentinga­n terbaik buat Sunderland.”

Ketua Eksekutif FA, Martin Glenn semalam memberitah­u Sky Sports News: “Kami tidak mencari calon bagi tempoh jangka pendek, seseorang itu perlu memikul tugas itu untuk tempoh beberapa tahun.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia