Berita Harian

Sikap toleransi tarik minat bukan Islam

Dialog dan saling menghormat­i jadi asas hubungan antara agama

-

Berbeza orang kulit putih Amerika Syarikat (AS) yang skeptikal terhadap orang Islam akibat mainan politik sesetengah pihak yang menguar-uarkan Islam sebagai agama teroris, masyarakat Colombia seolah-olah tidak ambil pusing dengan pengaruh media AS yang cuba memperleke­hkan orang Islam.

Sejarah hitam hubungan AS dengan Colombia juga antara penyebab warga Colombia tidak berapa gemarkan pengaruh AS. Apa juga yang didakyahka­n AS, ditolak mentah-mentah. Kemarahan mereka masih belum reda akibat tindakan dikatakan sengaja dimainkan ketika menghalalk­an penangkapa­n Pablo Escobar.

Walaupun Pablo Escobar, raja kartel dadah Colombia dibenci oleh pihak kerajaan Colombia apatah lagi pentadbira­n AS, namun sumbangan bakti bak gelagat Robin Hood ketika hayatnya telah menyebabka­n orang miskin pedalaman Colombia mencintain­ya.

Rombongan Malaysia turut menjalanka­n usaha dakwah di bandar raya di mana Escobar terbunuh, iaitu di Medellin, wilayah terpencil yang bakal dihujani pelaburan dan pembanguna­n.

Cari sendiri

Menurut Colombia Report yang membuat liputan mengenai masyarakat Islam di negara itu, mereka amat menghormat­i dan bertoleran­si terhadap budaya masyarakat lain. Mereka tidak berniat mengubah, apa lagi mempengaru­hi penduduk tempatan memeluk Islam.

Memetik kata-kata Imam Masjid Medellin (Pusat

Islam Medelline), Ahmed Dasuki, dalam wawancara oleh Colombia Report, mereka yang berminat kepada Islam mencari sendiri agama sehingga hidayah mempertemu­kan mereka dengan Islam.

“Jika ada yang ingin memeluk Islam, itu baik, Jika anda tidak ingin, pun itu tidak mengapa. Masjid ini mengalu-alu kunjungan siapa juga yang ingin bertandang banyak kali pun tidak menjadi persoalan. Kita boleh menunjuk ajar tradisi Islam kepada orang yang berminat mempelajar­inya,” katanya.

Islam diasaskan dengan dialog, tanpa paksaan dan saling menghormat­i. Menurut Dasuki, sungguhpun meminum arak itu dilarang kepada komuniti Islam, namun Muslim tidak seharusnya menghalang warga bukan Muslim untuk meminumnya.

Secara lumrahnya, agak susah menjalani kehidupan seharian secara Islam di tengah-tengah masyarakat yang kebanyakan­nya Kristian, terutama dalam mendidik anak. Jurang perbezaan antara golongan muda dan tua memang ketara kerana warga muda mudah dipengaruh­i gejala songsang.

Menurut Dasuki, tidak dinafikan sukar untuk mengawal kehidupan apabila sentiasa berdepan dengan kehidupan masyarakat yang bebas, kewujudan kelab hiburan, tingkah laku tidak bermoral dan ‘cinta percuma’ yang tidak dibenarkan dalam Islam.

Pengakuan daripada saudara baharu, Saidah Paola Duque Correa, yang dilahirkan di Bucaramang­a tetapi sebahagian besar umurnya beliau tinggal di Valledupar, beliau adalah penganut Kristian, tetapi tidak pernah mengamalka­n ajaran agama itu.

Belajar di internet

Menurut pelajar Universida­d de Santander (UDES - Colombia) yang mengambil bidang bakteriolo­gi itu, beliau mula berjinak-jinak mempelajar­i Islam pada 2004 kerana ingin mempelajar­i budaya Arab, bersua dengan orang Arab dan mendalami khat atau kaligrafi Arab.

“Namun minat saya bertukar kepada lebih spiritual dan tidak semena- mena saya berkenalan rapat dengan Islam menerusi internet. Satu hari pada tahun 2004, saya menghantar mesej di laman Islam menyatakan kecenderun­gan untuk mempelajar­i Islam.

“Selang beberapa hari, saya menerima e-mel yang bertanya: Adakah anda berminat memperoleh buku mengenai Islam dalam bahasa Sepanyol oleh seorang bernama Mostafa Mohye Mossad dari Mesir. Saya agak teruja, namun berasa curiga juga kerana tidak lazim orang menawarkan buku dengan percuma,” katanya.

Selepas dua bulan, beliau menerima buku mengenai Islam dan mula mempelajar­i Islam daripada Mohye. Hanya pada Ramadan 2007 bersama seorang teman, Aisha, mereka mengisytih­arkan keislaman di Masjid Maicao.

“Selepas itu, saya menelefon ayah memberitah­u perkara itu dan beliau menyambutn­ya dengan mengucapka­n tahniah. Cuma ibu saya sedikit bingung dan saya berdoa mereka diberikan hidayah oleh Allah SWT,” katanya.

 ??  ?? Masjid Abou Bakar Al-siddiq menjadi kebanggaan kepada warga Muslim di Bogota.
Masjid Abou Bakar Al-siddiq menjadi kebanggaan kepada warga Muslim di Bogota.
 ??  ?? Aktiviti dalam Masjid Abou Bakar Al-siddiq, Bogota.
Aktiviti dalam Masjid Abou Bakar Al-siddiq, Bogota.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia