Berita Harian

Kumpul mata untuk hadiah lumayan

Aksi ganas ikan ubati ketagihan memancing di laut dalam

-

Sebanyak 10 mekong yang berat setiap seekor hampir 25 kilogram

(kg) antara 200 ikan air tawar yang dilepaskan untuk menanti umpan pemancing di Kolam Pancing Lagenda.

Ikan bersaiz besar ini akan membuatkan setiap kaki pancing teruja apabila umpan diragut untuk memberikan sentapan yang hebat kerana sifat ikan ini liar dan agak ganas.

Selain itu, empat lagi ikan air tawar yang menunggu lontaran umpan daripada pemancing ialah patin, tongsan, pacu dan rohu masing-masing bersaiz antara lima hingga 12 kg seekor.

Bagi pemancing kolam air tawar di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan yang ingin merasai sentapan serta berlawan tarik tali dengan mekong mega boleh datang memancing di kolam itu yang dibuka 24 jam setiap hari termasuk cuti umum.

Sekurang-kurangnya aktiviti memancing di kolam ini juga mengubati ‘ketagihan’ memancing di laut dalam yang tidak dilakukan kerana faktor cuaca tidak menentu.

Sesuai untuk aktiviti bersama keluarga

Kolam Lagenda yang mula beroperasi sejak tahun

2012, terletak di tepi hutan di belakang sebuah taman perumahan. Mudah untuk pergi ke situ kerana terdapat banyak papan tunjuk arah yang dipasang oleh pemilik kolam berkenaan.

Pemiliknya, Datuk Kamarudin Mohamed, berkata kolam pancing berkenaan sesuai untuk aktiviti hujung minggu dan cuti umum bersama keluarga sambil memancing.

Beliau berkata, sambil menunggu joran disentap ikan, pemancing sama ada seorang diri, dengan kawan atau keluarga dapat menikmati suasana hutan pinggir bandar yang hijau dan damai, hanya kedengaran bunyi air mengalir dan kicauan burung.

“Bayarannya pun berpatutan. Setakat ini, ada beberapa pelanggan tetap kami sanggup memancing 24 jam kerana seronok berlawan dengan mekong mega yang terdapat di sini.

“Namun, semua lima jenis ikan yang berjaya dipancing di sini harus dilepaskan semula ke dalam kolam disebabkan kami mengamalka­n konsep ‘tangkap, timbang dan lepas’,” katanya.

Tunjuk ajar pasang umpan

Kamarudin berkata, mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia memancing kolam tidak perlu khuatir kerana Pengurus Kolam, Mior Mustaffa Rahim, boleh memberi tunjuk ajar teknik mengikat mata pancing atau perambut, cara menyediaka­n dan memasang umpan serta kaedah betul melontar umpan agar tidak berderai.

“Kolam ini saya wujudkan sebagai tempat berehat sambil memancing bersama keluarga untuk mereka yang meminati aktiviti ini pada hujung minggu.

“Sebenarnya, saya sendiri pun minat memancing apabila ada kelapangan.

“Saya mempunyai beberapa peralatan memancing laut dalam, namun jarang mengikut trip memancing di laut dalam dan pulau kerana terlalu cepat mabuk laut,” jelasnya.

Hadiah istimewa markah terkumpul

Sementara itu, Mior Mustaffa berkata, aktiviti tetap setiap bulan yang menjadi tarikan kepada pemancing datang ke kolam itu ialah hadiah jack pot untuk mereka yang mendapat markah dikumpul paling tinggi.

Ini kerana setiap ikan yang berjaya ditangkap mempunyai markah tersendiri.

Katanya, selain kategori markah terkumpul, pada hari penutupan papan pertanding­an, pemancing yang hadir juga berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai bagi lima spesies serta hamper bagi ikan terpantas, terberat dan terbanyak.

 ?? [ FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ / BH ] ?? Kamarudin (kanan) melihat hasil tangkapan pengunjung di Kolam Lagenda, Hulu Langat, miliknya.
[ FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ / BH ] Kamarudin (kanan) melihat hasil tangkapan pengunjung di Kolam Lagenda, Hulu Langat, miliknya.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia