Berita Harian

Bersifat positif dalam hidup

Jangan cepat lemah,jadikan kegagalan pemangkin untuk bangun semula

-

“Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertaha­n dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berduka cita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali-imran, ayat 139)

Kekalahan dan kemenangan dalam peperangan adalah sebahagian daripada sunah Allah SWT yang tetap dan tidak berubah. Bagi orang Mukmin, setiap kejadian termasuk kemenangan dan kekalahan ada hikmah di sebaliknya.

Bagaimanap­un, dalam apa keadaan sekalipun kebenaran tetap menang dan mengatasi kebatilan, hanya masa serta waktu tidak dapat dipastikan. Sunatullah ini berlaku sejak nabi terdahulu bersama pengikut mereka tetapi Allah SWT tetap dengan janji-nya untuk menolong rasul-nya.

Al-quran menyeru kepada pencinta dan pengikutny­a supaya sentiasa bersifat positif dalam hidup. Justeru, ayat ini salah satu pada ratusan ayat yang mendidik manusia supaya tidak cepat berasa lemah, kecewa dan sedih apabila ditimpa kegagalan atau musibah.

Ibnu Abbas ketika mengulas sebab penurunan ayat ke-139, surah Ali-imran berkata, apabila umat Islam mengalami kekalahan dalam peperangan Uhud, tiba-tiba pasukan tentera berkuda musyrikin pimpinan Khalid bin Al-walid muncul lalu menaiki bukit untuk mengepung tentera Muslimin.

Yakin janji Allah

Ketika itu Nabi SAW berdoa: “Ya Allah! Janganlah hendaknya mereka itu mengatasi kedudukan kami. Ya Allah! Tiada bagi kami kekuatan kecuali dengan kekuatan-mu, Ya Allah! Tiada lagi orang yang beribadah kepada-mu selain golongan itu.”

Setelah selesai berdoa, ayat itu diturunkan sebagai tasliyah atau penguat semangat kepada Nabi SAW. Dengan penurunann­ya orang Islam bersemanga­t semula, lalu bangun dan mendaki bukit serta melontar kuda musyrikin sehingga mereka dikalahkan.

Semangat orang kafir hanya terarah terhadap tujuan yang rendah berbanding semangat orang Mukmin yang tujuannya terarah untuk menegakkan prinsip keadilan di dunia dan mengecapi kebahagiaa­n di akhirat.

Orang Mukmin yang sememangny­a mengakui janji Allah SWT sudah pasti meyakini bahawa orang yang menolong agama-nya tetap akan memperoleh kemenangan, manakala hasil yang baik hanya akan diberikan kepada orang bertakwa.

Ayat ini melarang daripada berasa lemah dan berdukacit­a dengan sebab kekecewaan dialami sebelum ini.

Kejayaan menanti

Kita dilarang bersedih dengan kejadian yang sudah berlaku kerana hal ini boleh merosakkan semangat dan kekuatan diri.

Kekalahan dalam peperangan Uhud disebabkan pasukan pemanah ditempatka­n di kemuncak Bukit Uhud meninggalk­an tempat masing-masing kerana merebut harta ghanimah. Pada peperangan itu, bapa saudara Nabi SAW, Hamzah, terkorban syahid berserta pahlawan Islam terkemuka.

Pada malam itu juga Nabi SAW hadir melihat mayat terbujur di medan Uhud dan menyaksika­n setiap mayat serta mendoakan semuanya dengan perasaan hiba, kemudian Baginda mengarahka­n mereka dikebumika­n di situ juga. Umat Islam sangat berduka cita atas kekalahan itu.

Syeikh Al-maraghy berkata, orang beriman tidak boleh merasa lemah untuk berperang dan melengkapk­an diri disebabkan oleh kecederaan serta kegagalan mereka dalam Perang Uhud sebelum ini.

Allah SWT memberi peringatan dalam firman yang bermaksud: “Janganlah kamu menjadi sedih dengan adanya beberapa orang yang meninggal pada hari itu. Adakah wajar kamu berasa hina dan berduka cita, padahal kedudukan kamu lebih tinggi daripada mereka?”

Antara sunatullah ialah kejayaan dan kemenangan sebenarnya untuk orang Mukmin apabila cukup syaratnya. Justeru mereka tidak harus berasa lemah semangat, kecewa, berputus asa dan tawar hati dengan sedikit kerugian yang berlaku kerana kejayaan bakal diperoleh jauh lebih besar.

 ?? [GAMBAR HIASAN] ??
[GAMBAR HIASAN]
 ??  ?? Oleh Ahmad Shukri Yusoff
Oleh Ahmad Shukri Yusoff

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia