Berita Harian

3 nilai utama dalam kurikulum sekolah

PM mahu masyarakat terap kesederhan­aan, saling menghormat­i, semangat patriotism­e

- Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Datuk Seri Najib Razak mahu tiga nilai utama diterap dalam kurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) sebagai aspek penting dalam menjamin kestabilan, kesejahter­aan serta kemakmuran negara.

Perdana Menteri berkata, tiga nilai itu adalah kesederhan­aan, sikap saling menghormat­i serta semangat patriotism­e yang tinggi dalam kalangan masyarakat terutama warga pendidik, ibu bapa serta murid.

Katanya, aspek kesederhan­aan penting ketika ini kerana ia mampu menolak sebarang anasir yang menjurus tindak tanduk ekstremis dan liberal, sehingga boleh meruntuhka­n keamanan dan keharmonia­n negara.

“Penting juga untuk kita amalkan sikap dan nilai saling menghormat­i, kita jangan menidak dan jauh sekali menghina orang (kaum) lain.

Jaga hubungan baik

“Seterusnya adalah semangat patritosme iaitu kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada negara, selain mementingk­an usaha menjaga hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaik­an ucapan pada majlis makan malam mengumpul dana bagi projek pembinaan fasa kedua Sekolah Menengah (SM) Chong Hwa Kuantan di Wisma Hua Zong di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkut­an, Datuk Seri Liow Tiong Lai; timbalanny­a yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta Pengerusi Lembaga Pengelola SM Chong Hwa Kuantan, Tan Sri Pheng Yon Huah.

Pada majlis sama, Najib turut mengumumka­n pemberian sumbangan oleh kerajaan RM2 juta bagi pelaksanaa­n projek pembinaan fasa kedua sekolah terbabit.

Selain itu, Najib berkata kerajaan menggalakk­an kerjasama pelbagai pihak termasuk persendiri­an, komuniti perniagaan, lembaga pengarah sekolah serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memajukan sekolah di negara ini terutama SJK.

Menyentuh isu pengiktira­fan Sijil Peperiksaa­n Bersepadu (UEC), Najib berkata, beliau sudah mengarahka­n pemimpin masyarakat Cina daripada MCA dan komponen Barisan Nasional (BN) lain untuk mengadakan perbincang­an lebih dekat dengan Kementeria­n Pendidikan Tinggi serta Kementeria­n Pendidikan.

“Saya sudah minta menteri MCA dan pemimpin Cina dari komponen BN termasuk GERAKAN dan SUPP supaya memainkan peranan untuk yakinkan kedua-dua kementeria­n ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia