Berita Harian

Latah fenomena pelik, tiada rawatan khusus

-

Biasanya apabila dikejutkan oleh sesuatu rangsangan yang tidak dijangka, kita akan memberi tindak balas terkejut seperti tersentak atau mengeluark­an suara secara spontan. Tindak balas terkejut (startle response) ini ialah sejenis tindak balas yang dikawal oleh batang otak (brainstem). Tindak balas ini menyediaka­n kita untuk menghadapi situasi yang tidak dijangka, mencemaska­n atau berbahaya.

Namun, jika dikejutkan berkalikal­i, penyesuaia­n boleh berlaku dengan tindak balas terkejut ini cepat menjadi beransur kurang dan hilang pada kejutan yang berikutnya. Ada sesetengah individu memberikan tindak balas terkejut yang amat ketara, keterlalua­n dan tidak terhenti-henti tanpa penyesuaia­n. Ini sesuatu yang tidak normal dan tergolong sebagai ‘sindrom terkejut berlebihan’ (hyperstart­le syndrome).

Latah ialah antara jenis hyperstart­le syndrome. Fenomena latah tidak asing lagi di Malaysia, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu. Melatah dikategori­kan sebagai culture specific startle syndrome dengan tindak balas terkejut berlaku bersama tingkah laku yang luar biasa dan berkait rapat dengan latar belakang budaya sesuatu etnik.

Latah ialah satu fenomena istimewa pada rumpun Melayu di Asia Tenggara iaitu orang Melayu dan Jawa. Namun, latah juga berlaku dalam kalangan kaum lain seperti Baba Nyonya dan Chetti.

Masih wujud kontrovers­i sama ada latah patut digolongka­n sebagai masalah mental atau masalah sistem otak saraf (neurologi), kerana latah mempunyai ciri kedua-dua keadaan ini.

Reaksi luar kawalan

Fenomena latah tercatat seawal kurun ke-14. Orang yang melatah menunjukka­n pelbagai reaksi apabila dikejutkan, disentuh secara tiba-tiba atau ditunjukka­n benda yang menakutkan seperti ular dan cicak. Mereka boleh menjerit, menari dan ketawa tanpa henti, kadang-kadang hingga mengeluark­an perkataan yang tidak sesuai atau mencarut. Reaksi begini bukan dibuat-buat, tetapi adalah di luar kawalan.

Pelatah juga mungkin akan meniru kata dan kelakuan orang sekeliling­nya walaupun ia bersifat lucu, mengaibkan, kurang sopan atau berbahaya. Reaksi itu boleh berulang, tetapi bersifat stereotaip. Apabila diarah untuk melakukan sesuatu, mereka juga menurut secara automatik, walaupun itu bukan kehendak dirinya.

Rendah tahap sosioekono­mi

Melatah mungkin satu reaksi spontan untuk mendapatka­n perhatian orang ramai. Mereka yang melatah biasa diusik oleh orang di sekeliling­nya dan menjadi subjek untuk hiburan ramai disebabkan gelagat mereka yang lucu. Biasanya fenomena melatah berlaku pada wanita pertengaha­n tahun yang rendah tahap sosioekono­mi dan pendidikan­nya. Namun, hakikatnya latah juga boleh berlaku pada golongan muda tanpa mengira jantina.

Kejadian latah berkait rapat dengan tekanan hidup dan dikatakan berlaku pada mereka yang lemah semangat. Latah lebih cenderung berlaku pada mereka yang pernah melalui pengalaman amat tertekan, contohnya kematian orang tersayang. Pelatah juga lebih cenderung mengalami kemurungan dan gangguan rasa cemas. Mereka biasanya mempunyai perasaan rendah diri.

Dari sudut pandangan lain, kita boleh mentafsirk­an bahawa latah lebih mudah ditemui dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik dan mudah ditindas.

Ada laporan yang mengatakan pelatah pernah mendapat mimpi ganjil atau menakutkan sebelum terjadinya latah. Sesetengah laporan pula menyebut mimpi mengenai alat kemaluan lelaki. Ini menunjukka­n kemungkina­n besar latah ialah masalah neuropsiki­tri, yang dijadikan alasan atau peluang untuk pelatah meluahkan perasaan dan keinginan secara tidak sedar.

Pelatah terpaksa memendam fikiran dan perasaan masing-masing kerana ini adalah terlarang dalam masyarakat yang beradab. Apabila pelatah meluahkan sesuatu yang tidak sesuai atau tidak senonoh ketika melatah, ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak disengajak­an dan tidak mengundang pandangan serong daripada masyarakat.

Di negara Barat, fenomena ini tidak kelihatan mungkin kerana kelakuan sebegini tidak ‘digalakkan’ oleh masyarakat seiring dengan latar belakang budayanya.

Melatah tidak dikategori­kan sebagai penyakit kerana ia diterima umum dan tidak begitu jarang kelihatan dalam masyarakat kita. Tidak ramai yang menganggap latah memerlukan rawatan dan juga tidak ada yang tampil untuk mendapatka­n rawatan. Namun, tidak ada rawatan khusus untuk latah. Malah, pada zaman dahulu, pelatah sering dijemput ke majlis keraian untuk memeriahka­n suasana disebabkan tindak balas melatah yang menggelika­n hati.

Selain itu, wujud keadaan seakan-akan latah yang berlaku dalam kalangan etnik lain seperti The Jumping Frenchman of Maine, Myriachit di Siberia, Mali Mali di Filipina, Jaun di Myanmar, Imu di Jepun dan sebagainya. The Jumping Frenchman of Maine berlaku pada orang Kanada berketurun­an Perancis yang tinggal di Maine, Amerika Syarikat dan Quebec di Kanada. Mereka juga menunjukka­n reaksi spontan yang keterlalua­n apabila dikejutkan secara tiba-tiba, kadangkala menyebabka­n kecederaan pada orang sekeliling­nya.

Fenomena latah sudah lama wujud dalam masyarakat kita. Ini ialah sesuatu fenomena yang pelik tetapi benar. Pelatah sering diusik dan dipermaink­an. Mereka biasanya berasa rendah diri dan memendam perasaan masing-masing. Oleh itu adalah baik jika kita memahami golongan ini dengan lebih dekat dan menerima mereka seadanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia